NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Bagi memastikan penduduk yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat bantuan dengan lebih sistematik, Jawatankuasa Bencana Bahagian Sibu (JBBS) akan menubuhkan satu sistem ‘Whatapps Center’.
Menurut Koordinator JBBS, Dr Annuar Rapa’ee berkata, sistem ini akan digunakan untuk menagihkan bantuan kepada penduduk sekitar kawasan pusat bandar Sibu sahaja.
“Bagi kawasan luar bandar yang merangkumi kawasan rumah panjang dan kampung-kampung, bantuan akan dihantar terus tanpa perlu membuat permohonan melalui Whatapps Center berkenaan.
“Hal ini disebabkan penduduk di kawasan luar bandar mempunyai jarak yang jauh untuk mendapatkan bekalan makanan di kawasan bandar. Pemohon cuma perlu mengemukakan nama penuh, alamat dan nombor telefon dan dihantar ke Whatapps Center untuk kita sahkan.
“Kemudian, kita akan hantarkan bantuan ke rumah tanpa perlu kamu keluar rumah atau beratur panjang. Just stay at home (Duduk sahaja dirumah),” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, petang semalam.
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Sains dan Teknologi memberitahu, nombor Whatapps Center akan didedahkan kepada umum dalam masa terdekat selepas semua bantuan makanan sudah tersedia dan akan mula menagihkan bantuan ini paling cepat pada Ahad ini.
“Kerajaan Negeri telah memperuntuk sebanyak RM200,000 untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Sibu mempunyai lima kawasan DUN. Kira-kira 6,903 buah pintu rumah panjang termasuk empat buah kampung Melanau di lima kawasan DUN di Sibu akan menerima bantuan ini.
“Jadi kita mempunyai peruntukan RM1 juta dan mampu untuk menyediakan kira-kira 20,000 food basket untuk kelima-lima kawasan ini termasuk di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Dr Annuar juga menjelaskan setiap DUN mempunyai Pusat Bantuan dan jawatankuasa mereka tersendiri.
Bagi yang ingin memohon bantuan, katanya, mereka hanya perlu menghantar maklumat yang diperlukan kepada Whatapps Center, dan maklumat ini akan ditapis sebelum disalurkan kepada Pusat Bantuan di setiap DUN, seterusnya bantuan tersebut akan dihantar terus ke rumah pemohon.