Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Jazz, Cozykidd kongsi kisah single, muzik video ‘Produa’
  • HIBURAN

Jazz, Cozykidd kongsi kisah single, muzik video ‘Produa’

Utusan Sarawak 15 hours ago
KOLABORASI unik antara dua penggiat muzik popular, Jazz dan Cozykidd menerusi single ‘Produa’.

KUCHING: Kolaborasi unik antara dua penggiat muzik popular, Jazz dan Cozykidd, kini menjadi tumpuan peminat muzik tempatan melalui single dan muzik video terbaru mereka, ‘Produa’.

Mereka berkongsi cerita menarik di sebalik pembikinan lagu dan konsep visual yang sarat dengan simbolisme pada sidang media baru-baru ini.

Menurut Jazz, idea lagu ini tercetus daripada perbualan santai tentang budaya tempatan dan kereta rakyat Malaysia, terutamanya Perodua.

“Judul ‘Produa’ adalah permainan kata daripada ‘produk dua’, merujuk kepada gabungan dua individu, dua gaya, dua pemikiran dalam satu karya,” jelasnya.

Cozykidd menambah, “Kami ingin menonjolkan gabungan dua personaliti berbeza tetapi tetap harmoni. Jadi, ‘Produa’ menjadi simbolik kolaborasi kami.”

SIDANG media dan tayangan single ‘Produa’ baru-baru ini.

Jazz mengakui sudah lama mengagumi karya Cozykidd yang mempunyai visi tersendiri. Cozykidd pula mendedahkan Jazz yang terlebih dahulu menghubunginya untuk berkolaborasi.

“Kami saling menghormati, jadi apabila dia ajak buat lagu bersama, saya terus setuju,” katanya.

Cozykidd menerangkan, muzik video ‘Produa’ penuh dengan metafora yang menggambarkan perjalanan dua individu dari dunia berbeza menuju destinasi sama.

Jazz pula menambah, “Visual video ini sarat dengan simbolisme pilihan, perubahan dan kesatuan, terutamanya dalam babak akhir.”

Penggambaran muzik video ini dijalankan selama dua hari, melibatkan satu hari penggambaran luar dan satu hari babak malam.

Cozykidd berkongsi cabaran utama adalah cuaca yang tidak menentu, yang mana hujan turun tiba-tiba ketika penggambaran babak klimaks. Namun, mereka merasakan situasi tersebut menambah keunikan pada hasil akhir.

Penulisan lirik dan susunan muzik dilakukan bersama melalui sesi brainstorming sehingga lewat malam. Jazz memuji kreativiti Cozykidd yang mencadangkan penggunaan sample bunyi enjin kereta pada intro lagu, memberikan karakter tersendiri kepada lagu tersebut.

Jazz menjelaskan ‘Produa’ adalah lagu yang lebih eksperimental berbanding karya-karyanya sebelum ini, dengan penggabungan elemen elektronik ke dalam gaya soul/jaz.

Cozykidd pula mengakui lagu ini membawa fusion yang lebih kemas dan sinematik berbanding genre lo-fi dan dark trap yang biasa dibawanya.

JAZZ dan Cozykidd bergambar bersama rakan rapper.

Sejak dilancarkan, ‘Produa’ mendapat sambutan hangat daripada peminat. Cozykidd berkata, “Ramai terkejut bagaimana dua genre berbeza ini boleh bergabung dengan baik.”

Jazz pula berkongsi pengalaman menerima mesej daripada peminat yang mengatakan lagu ini terasa seperti karya antarabangsa, satu pujian yang amat dihargainya.

Kedua-dua artis ini mengesahkan bahawa ‘Produa’ adalah single berdiri sendiri buat masa ini, tetapi mereka ada rancangan besar di masa hadapan. “Tunggu sahaja, kami akan bawakan lebih daripada satu lagu,” kata Cozykidd memberi petunjuk.

Jazz menekankan pentingnya saling menghormati dalam kolaborasi ini tanpa cuba mengubah gaya masing-masing.

Cozykidd pula menambah bahawa mereka berjaya mencari titik tengah yang menghasilkan vibe lagu yang unik hasil kompromi dan keserasian.

Jazz meminati babak di lorong sempit dengan pencahayaan neon yang melambangkan emosi lagu, manakala Cozykidd gemar babak kereta lama yang rosak sebagai simbol perjalanan hidup yang penuh cabaran.

Cozykidd berharap ‘Produa’ dapat menggalakkan lebih ramai artis berani melakukan kolaborasi rentas genre. Jazz pula mahu lagu ini menjadi contoh bahawa keaslian muzik masih boleh diterima oleh pasaran utama.

Jazz menutup sesi temubual dengan memberi petunjuk bahawa ‘Produa’ bukanlah penghujung perjalanan mereka dan peminat boleh menantikan karya-karya seterusnya.

Selepas sidang media menampilkan persembahan istimewa Jazz dan Cozykidd menerusi single ‘Produa.’ Turut mengadakan persembahan Ghetto City, Acarl MP3, Kronx dan Trippywakaka.

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Bob Yusof bakal meriahkan Pesta Saratok 2025
Next: Munajjim: Sekutu Iblis ketengah reality ilmu hitam dalam masyarakat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.