
KUALA LUMPUR: Bekas senator, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mencadangkan agar sebuah kapal layar milik Rusia, Lodya ‘Pilgrim’ yang terkandas di perairan Oya, Mukah baru-baru ini disumbangkan kepada kerajaan Sarawak.
Beliau berkata kapal layar dari Rusia ini merupakan sebuah replika kapal kayu bersejarah terhasil dari pengaruh seni pertukangan dari abad ke-16 hingga ke-18.

“Kapal Lodya ‘Pilgrim’ telah melalui banyak ekspedisi dan belayar mengelilingi dunia sejak sekian lama.
“Ia adalah sebuah kapal yang amat unik dan mampu menjadi satu tarikan baharu kepada produk pelancongn di Mukah.
“Namun kapal tersebut perlu diperbaiki untuk menjadikan kapal itu selamat untuk dikunjungi. Sekarang pun kita dapati ramai yang datang berkunjung melihat kapal tersebut, ia dilihat sudah menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar Mukah,” katanya.
Dalam pada itu, Jaziri pada semalam mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib di Kuala Lumpur.

Kunjungan tersebut adalah bagi perbincangan awal dengan pihak Kedutaan Rusia di Malaysia dan Kapten Lodya ‘Pilgrim’ Sergei Sinelnik mengenai penyelesaian isu tersebut.
“Antara cadangan yang dikemukakan adalah kapal tersebut akan disumbangkan kepada kerajaan Sarawak sebagai sebuah tarikan pelancongan baharu dengan keperluan kerja-kerja pembaikan.
“Bagaimanapun, perbincangan ini masih di peringkat awal dan sebarang keputusan memerlukan persetujuan pelbagai pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Jaziri pada Januari lalu telah menghubungi pemilik kapal tersebut, Kapten Sergei Sinelnik dan mereka bertemu di Ibu Negara bersama Kochegarov dari Kedutaan Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur.
Terdahulu, sebuah kapal layar warga Rusia yang dinamakan ‘Pilgrim’, terkandas di beting pasir berhampiran pantai Kuala Oya, Dalat pada malam 20 Disember tahun lalu.
Kejadian itu berlaku akibat kerosakan pada alat navigasi dan cuaca buruk, namun kesemua empat kru kapal berjaya menyelamatkan diri dan berlindung di daratan.
Mereka dalam perjalanan dari Miri menuju Kuching, selepas singgah di Labuan, ketika kejadian itu berlaku.
Pihak polis telah mengesahkan bahawa keempat-empat kru kapal tersebut mempunyai dokumen perjalanan yang sah.