
BARIO: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri (PAC) Sarawak telah mengadakan lawatan kerja dua hari ke tapak Projek Pembangunan Industri Beras Bario.
Lawatan ini bertujuan untuk meneliti kemajuan projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) bagi memastikan penggunaan dana awam yang telus dan berkesan.
Pengerusi PAC Sarawak, Razaili Gapor, dalam taklimat di Pejabat Daerah Kecil Bario menegaskan bahawa lawatan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama PAC untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang.
Ini adalah bagi memastikan setiap projek yang menggunakan dana awam dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti selaras dengan dapatan Laporan Ketua Audit Negara.

“Projek ini bukan sahaja penting untuk keselamatan makanan dan kelestarian pertanian, malah memberi impak langsung kepada ekonomi luar bandar dan masyarakat di pedalaman Sarawak,” kata Razaili yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro.
Projek Pembangunan Industri Beras Bario dilihat sebagai inisiatif strategik yang berpotensi besar untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Hasil pemantauan PAC diharap projek ini dapat berjalan lancar dan memberikan manfaat yang nyata kepada komuniti Bario.
Delegasi PAC Sarawak turut disambut mesra oleh komuniti Bario dalam satu majlis makan malam yang dihoskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Oleh Adi Safarman