KUCHING: Satu jawatankuasa khas bagi menjaga keperluan sekolah misi bakal diwujudkan tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Uggah, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai masalah yang dihadapi sekolah-sekolah tersebut.
Menurut Uggah cadangan penubuhan jawatankuasa itu mendapat maklum balas baik daripada Ketua Menteri yang seterusnya meminta beliau untuk menubuhkan jawatankuasa khas di UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain) bagi melihat secara khusus keperluan berkenaan.
“Sekarang kita juga mempunyai jawatankuasa untuk melihat kebajikan sekolah-sekolah vernakular Cina di negeri ini di bawah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sri Dr Sim Kui Hian,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tambahan UNIFOR berjumlah RM1.5 juta untuk pembinaan Diosis Rumah Epiphany Kuching semalam.
Uggah memberitahu pihaknya akan mengeluarkan arahan agar UNIFOR mengatur satu pertemuan minggu depan.
“Wakil gereja Katolik, Anglican dan Methodist akan dijemput menghadiri pertemuan ini dengan tujuan untuk membentuk sebuah jawatankuasa. Jawatankuasa ini kemudian dapat mengenal pasti keperluan sekolah seperti itu,” katanya.
Uggah menambah, sekolah misi memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan di negeri ini pada masa lalu, masa kini dan masa depan.
Beliau juga mengakui ramai pemimpin di negeri pernah belajar di sekolah berkenaan.
Malah kata Uggah, sebagai sekolah yang dibantu oleh kerajaan, mereka juga memerlukan sokongan penuh dari Kerajaan Pusat.
Sementara itu Uggah yang juga menteri bertugas bagi UNIFOR mengatakan bahawa organisasi berkenaan kini telah diakui secara nasional sebagai teladan keharmonian dan kesatuan agama di negara ini.
“Menteri Perpaduan Nasional Datuk Halimah Mohamed Sidique semasa lawatannya ke negeri ini amat menyanjungi UNIFOR. Malah beliau ingin kami menyampaikan kepada Yang Dipertuan Agong tentang peranan dan fungsinya.
Justeru beliau melahirkan harapan ‘ orang-orang di sana’ ( Semenanjung Malaysia) akan bersikap terbuka seperti masyarakat di negeri ini di dalam hal-hal agama dan mungkin juga menubuhkan UNIFOR mereka sendiri.
“Keharmonian agama kita adalah aset besar kita. UNIFOR telah banyak membantu pelbagai agama dan rumah ibadat di negeri ini dengan bantuan pembangunan,” kata Uggah sambil menambah UNIFOR secara langsung menggambarkan dasar inklusif Abang Johari.
Sementara itu Uggah meminta anggota dari mana-mana gereja untuk belajar dengan teliti dan berbincang dengan UNIFOR sebelum menjawab sebarang muat naik provokasi di media-media sosial.
“Masalah akan timbul berulang kali terutama dengan media sosial. Sesetengahnya memang merupakan mesej yang sangat mencabar,” jelasnya.
Terdahulu Uggah menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan di antara Datuk Danald Jute, Uskup Gereja Anglikan Sarawak dan Brunei dan Kenny Ho Ketua Eksekutif Leya Construction bagi pembinaan Rumah Epiphany yang bernilai RM10 juta di pekarangan Katedral St Thomas.
Oleh Diyana Samsuddin