MIRI: Persiapan rapi Sambutan Hari Sarawak 2025 yang akan berlangsung di Bahagian Miri dari 20 hingga 22 Julai depan diteruskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bil. 1/2025 pada Khamis lalu di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Residen Bahagian Miri.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Sarawak 2025.
Dalam mesyuarat itu, pelbagai aspek penting persiapan telah dibentangkan oleh jawatankuasa-jawatankuasa terlibat, termasuk perancangan program utama dan acara tonggak sepanjang tiga hari sambutan.
Lee menekankan kepentingan perbincangan lanjut di peringkat jawatankuasa kecil dan menggesa semua jawatankuasa untuk membentangkan kemajuan perancangan mereka pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang akan diadakan pada 20 Jun ini.
Fokus utama persiapan meliputi aspek keselamatan, pengurusan acara, promosi, dan penglibatan aktif masyarakat setempat.
Jawatankuasa pelaksana juga membentangkan laporan terkini mengenai tahap persediaan serta pengagihan tugas yang terperinci bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti.
Pendekatan menyeluruh ini diambil bagi memastikan setiap aspek acara diurus dengan teliti dan berkesan, termasuk logistik, protokol keselamatan, serta komunikasi antara semua pihak terlibat.
Lee turut menegaskan bahawa sambutan tahun ini akan menampilkan penglibatan komuniti yang lebih menyeluruh, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur yang menekankan perpaduan dan pembangunan inklusif.
Antara program utama yang dirancang termasuk Karnival Jualan dan Sarawak Talent, program Zumba, Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Majlis Kesyukuran, Unity Walk, dan sesi Townhall bersama kepimpinan negeri.
Kemuncak sambutan ialah Perhimpunan Hari Sarawak pada malam 22 Julai di Stadium Bandaraya Miri, yang dijangka akan menarik kehadiran ramai peserta.
Orang ramai, khususnya penduduk Bandaraya Miri dan kawasan sekitar, dijemput hadir untuk memeriahkan sambutan yang juga akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg.
Turut hadir pada mesyuarat ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee, dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat.
Turut hadir bersama, Timbalan Residen Bahagian Miri Bujang Rahman Seli, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, serta ketua jabatan dan wakil agensi di bawah jawatankuasa pelaksana.