
KUCHING: Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak 2026 mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menyampaikan jemputan rasmi menghadiri sambutan Hari Sarawak yang akan berlangsung di Bahagian Sibu dari 20 hingga 22 Julai ini.
Delegasi yang diketuai Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin itu turut menjemput isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menghadiri beberapa acara utama sempena sambutan berkenaan.
Kunjungan hormat tersebut berlangsung di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Antara pengisian yang dijadualkan dihadiri ialah Majlis Kesyukuran di Masjid An-Nur pada 21 Julai, diikuti Program Unity Walk, Pameran Hari Sarawak, Perhimpunan Hari Sarawak serta Konsert Rakyat yang akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada 22 Julai.
Turut mengiringi Lee ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Dato Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Juanda Jaya.
Hadir sama, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Georgina Apphia Ngau, Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara (UPPANS) Hamdan Sharbini, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam (JAIS) Wan Shaifuddin Wan Madihi dan Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali.



