
LINGGA: Gereja St Barnabas, Gran Stumbin telah menyambut Ulang Tahun ke-51 Patronal dan Makan Malam Kutipan Dana yang telah diadakan di Dewan Nangkai Gran Stumbin, baru-baru ini.
Majlis yang diadakan itu adalah bertujuan mengutip dana bagi membiaya kegiatan dan aktiviti gereja dan menampung perbelanjaan menaik taraf prasarana untuk keselesaan umat Kristian di gereja berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menggesa jawatankuasa gereja berkenaan agar sentiasa mencari jalan untuk sentiasa mendampingi masyarakat melalui program kerohanian agar Kristian Anglikan dapat menarik minat para masyarakat yang masih tercari-cari ke jalan Tuhan.
“Ketaatan dan kepatuhan kepada perintah agama Kristian dilihat mampu mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan menghindarkan konflik antara kaum dalam masyarakat yang majmuk.
“Dalam memperkukuhkan pegangan agama kristian, para pelayan harus menunjukkan model yang terpuji agar masyarakat boleh menilai budi pekerti yang luhur melalui contoh Jesus Kristus dengan penampilan yang rendah diri dan sentiasa ingin membantu bila diperlukan,” katanya.

Gereja St Barnabas yang terletak dibawah Gereja St Luke merupakan Chapel bagi umat Kristian Anglikan menunaikan ibadat sesuai dengan pembangunan kerohanian untuk membentuk masyarakat Kristian yang taat dan patuh kepada ajaran serta mengamalkan prinsip toleransi antara kaum.
Pada majlis tersebut Harden telah mengumumkan kelulusan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM50,000 kepada Gereja St Barnabas, Gran Stumbin untuk agihan peruntukan pada tahun 2026.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor telah menyumbangkan RM5,000 kepada Gereja St Barnabas dengan penyampaian replika cek oleh wakil beliau Tuai Rumah Jimmy Ngindang.
Oleh Adi Safarman