
LIMBANG: Jawatankuasa Bencana Daerah Limbang menumpukan perhatian kepada ancaman buaya terhadap pasukan penyelamat dalam mesyuarat Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) 2025 di daerah ini.
Ancaman buaya bukan sahaja membabitkan keselamatan penduduk tetapi juga risiko terhadap pasukan penyelamat yang bertugas membantu mangsa banjir di kawasan terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang yang juga Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, berkata pihaknya mengambil langkah awal dengan mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi mengendalikan situasi tersebut.

“Kita akan berbincang dengan pihak SFC untuk menentukan kaedah terbaik dalam menangani ancaman buaya ini. Pengalaman lalu menunjukkan apabila berlaku banjir atau hujan lebat sehingga paras air meningkat, risiko ancaman buaya sentiasa wujud,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Simulasi Pengujian Bot dan Enjin Bot Sempena Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut 2025 di Jeti Polis Marin, Sungai Limbang hari ini.
Sulaiman turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada sepanjang musim hujan dan banjir besar, terutamanya terhadap kemungkinan kehadiran buaya.

Keadaan paras air yang semakin naik akibat hujan berterusan meningkatkan risiko kehadiran reptilia tersebut di kawasan berhampiran sungai, parit besar, kawasan perumahan dan longkang.
Pasukan penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga sentiasa bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada November depan.
Dalam latihan tersebut, sebanyak lapan aset kenderaan air dan bot daripada agensi berkaitan digunakan untuk menguji keupayaan operasi bot dan enjin bagi memastikan kesiapsiagaan aset air menghadapi Monsun Timur Laut.
Latihan ini juga bertujuan melatih anggota dalam kawalan, komunikasi dan keselamatan semasa operasi di air serta mengenal pasti keperluan pembaikan, penyelenggaraan dan penggantian aset.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem.
Oleh Adeng Edrus