KETIKA bahang pilihan raya semakin dekat, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan bahawa pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Jawatan itu akan diwujudkan sekiranya BN menjadi parti terbesar dalam kemenangan bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-15.
Tawaran jawatan itu, Ahmad Zahid boleh digunakan untuk BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai manifesto di peringkat negeri dan ini bukanlah cadangan daripada BN sahaja.
Malah, sebelum ini juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan akan dibentuk dua jawatan TPM bagi Semenanjung dan Sabah atau Sarawak sekiranya PH memenangi pilihan raya dan menerajui kerajaan selepas 19 November ini. Hal ini bermakna, GPS kini digoda oleh dua blok parti politik terbesar di Semenanjung Malaysia untuk hayat politik di peringkat nasional.
Sarawak menjadi tumpuan
Tidak hairanlah Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuat kiasan bahawa GPS ibarat gadis cantik sehingga ramai yang berusaha ‘menguratnya’. Hal ini kerana terdapat usaha kalangan blok-blok politik di Semenanjung cuba memujuk dan mempengaruhi GPS agar menyertai mereka untuk memastikan dapat membentuk gabungan menjelang PRU15.
Sebab itu, Abang Johari mengibaratkan bahawa ketika ini GPS dengan pakatan parti politik di Semenanjung masih dalam ‘fasa bercinta’ (berbaik-baik) dan sedang merancang untuk ‘bertunang’ (mengikat perjanjian). Akan tetapi Abang Johari juga membayangkan GPS setakat ini, blok Sarawak belum menjalin hubungan kukuh dengan mana-mana pakatan parti politik di Semenanjung. ‘Tidak mustahil pula ada yang sudah ‘bertunang’ boleh putus,’ katanya.
Keperluan jawatan TPM
Sebelum ini penulis pernah menyatakan bahawa apalah ertinya menjawat jawatan TPM jika hanya pada nama sahaja, namun tidak ada kuasa khusus dalam konteks Sarawak dan Sabah khususnya dari segi perancangan pembangunan dan tambahan peruntukan. Atau sekadar untuk menyedapkan elit politik sedangkan dilihat hanya boneka dan pak turut politik semata-mata.
Namun jika jawatan tersebut diwujudkan dan diberi kuasa lebih besar yang hampir dengan kuasa Perdana Menteri, maka tawaran ini perlulah dialu-alukan. Ia perlu juga memberi impak langsung kepada kepada rakyat Sarawak dan bukan pemegang jawatan itu sahaja.
Tawaran jawatan TPM bukanlah sesuatu yang baharu atau unik. Sebenarnya, bekas Yang Dipertua Negeri yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub yang ketika itu Menteri Pendidikan pernah ditawarkan jawatan TPM oleh Perdana Menteri. Ketika itu, Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein yang mengajak beliau menyertai UMNO, bagaimanapun ditolak oleh Tun Abdul Rahman.
Strategi politik
Sudah pasti tawaran jawatan TPM itu adalah salah satu strategi politik bagi menarik pengundi agar menyokong blok politik BN atau PH di Semenanjung. Hal ini penting kerana Sabah dan Sarawak dianggap sebagai kuasa penentu (king maker) dalam apa-apa percaturan kuasa politik khususnya apabila mereka memperoleh sejumlah kemenangan yang besar dari segi kerusi parlimen.
Tanpa sokongan Sabah dan Sarawak, maka BN dan PH dijangka sukar untuk membentuk kerajaan dalam pilihan raya ke-15 ini. Apatah lagi terdapat andaian BN dan PH dijangka tidak mendapat kerusi secukupnya di Semenanjung bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Tambahan pula, BN membuat strategi tersebut bagi melemahkan Perikatan Nasional (PN) di Sabah kerana dilihat kurang berkemampuan, tidak menawarkan BN dan PN adalah musuh politik dan apabila ada jawatan ini, ia akan mampu memberi kelebihan kepada BN khususnya di Sabah.
Jika PH menawarkan dua jawatan TPM, maka BN menawarkan setiap negeri di Sabah dan Sarawak bakal menjadi pemegang jawatan TPM. Bermakna, Sabah dan Sarawak diwakili oleh masing-masing wakil mereka. Namun bagi PH, ia akan dipilih sama ada Sabah atau Sarawak, bergantung kepada pihak blok yang mempunyai kerusi yang besar dan mahu bekerjasama.
Selaras dengan MA63
Langkah BN dan PH ini mampu membawa sentimen politik dengan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Hal ini dapat dilihat tindakan cuba membina naratif politik bahawa tawaran jawatan TPM sebenarnya selaras dengan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021.
Hal ini sejajar dengan usaha untuk meletakkan kedudukan Sabah Sarawak yang dikenali sebagai negeri Borneo setaraf dengan Semenanjung. Dengan kata lain, jawatan TPM ini memenuhi hasrat rakyat Sabah dan Sarawak yang mahu pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah khusus yang dipancarkan melalui pelantikan jawatan TPM.
Apabila diwujudkan jawatan TPM Sabah dan Sarawak, maka isu fokus pembangunan Sabah dan Sarawak dapat berfokus, diselaraskan dan tidak lagi ada apa-apa isu khususnya ada sesetengah pihak yang menyalahkan pihak persekutuan sekiranya berlaku hambatan pembangunan, kekurangan peruntukan dan sebagainya.
Sudah pasti, jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal Sarawak akan diserapkan dalam pentadbiran jawatan baharu tersebut. Tidak timbul isu pembaziran kerana sebelum ini juga sudah ada jawatan menteri kanan yang dilihat hampir menyamai jawatan timbalan perdana menteri.
Cuma jawatan tersebut tidak dinaiktaraf sebagai jawatan timbalan perdana menteri kerana bimbang akan menjadi ancaman politik kepada penyandang jawatan Perdana Menteri ketika itu.
Kewujudan tiga jawatan TPM bukanlah sesuatu yang baharu di luar negara. Di negara-negara lain di serata dunia terdapat kewujudan jawatan timbalan perdana menteri melebihi dua. Hal ini untuk memastikan fokus pentadbiran dan pengiktirafan politik kepada blok-blok politik yang ada.
Thailand misalnya mempunyai empat penyandang jawatan TPM, manakala negara Israel, Belanda dan Vietnam pula mempunyai tiga jawatan TPM. Jepun dan Singapura pula mempunyai dua jawatan TPM, manakala Belgium pula mempunyai tujuh TPM.
Maka, cadangan pelantikan tiga penyandang TPM di negara kita bukanlah dianggap membazirkan dan luar biasa.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).