KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu Datuk Azhar Azizan Harun menafikan dirinya diarah untuk menerima jawatan berkenaan sebaliknya berkata ia satu jemputan daripada kerajaan untuk dirinya.
Menyifatkannya sebagai penghormatan ke atas beliau dan keluarganya, Azhar Azizan yang mesra disapa Art Harun berkata jemputan itu diterima sebelum penamaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan beliau bersetuju dengan tawaran itu.
“Mengapa saya terima jawatan ini? Saya fikir ia satu penghormatan kepada saya, keluarga, ia satu cabaran dan cara saya berkhidmat kepada negara,” katanya ketika ditanya mengapa beliau menerima jawatan yang ditawarkan itu dalam sidang media pertamanya sebaik dimasyhur sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 di Parlimen semalam.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan pencalonan Azhar Azizan yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Tiada undi diadakan memandangkan hanya satu nama dicadangkan untuk jawatan berkenaan.
Usul itu dibentang Perdana Menteri selepas usul pertamanya supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat sedia ada, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya diluluskan selepas menerima sokongan 111 undi berbanding 109 undi.
Menyentuh mengenai misinya dalam reformasi institusi Parlimen, Azhar Azizan berkata beliau akan melihat perkara itu dan bercadang untuk melaksanakan beberapa pembaharuan yang dirasakan perlu di samping mengekalkan reformasi baik sedia ada.
“Saya belum dapat peluang untuk berbincang mengenainya (reformasi Parlimen), tetapi saya dimaklumkan, Tan Sri Ariff telah melakukan beberapa proses reformasi Parlimen.
“Sudah tentu kita akan melihat sekiranya ia baik, kita akan teruskan, jika boleh perbaiki kita perbaiki dan juga lihat reformasi yang belum pernah diperkenalkan jika ada, ianya akan berterusan,” katanya.
Mengulas mengenai isu dirinya yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dipilih tanpa diundi dan dakwaan pembangkang mereka tidak mempunyai peluang mengemukakan calon, Azhar Azizan berkata proses itu mengikut peraturan Dewan dan pembangkang boleh mengemukakan calon mereka.
“Sesiapa yang nak cadangkan calon perlu beri notis kepada Parlimen, tidak semestinya ada pengosongan. Tetapi mereka tidak berbuat demikian,” katanya.
Menjawab soalan media adakah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, dirinya mempunyai kuasa untuk mendahulukan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat persidangan kali ini, Azhar Azizan berkata: “Saya tidak mempunyai kuasa untuk mendahulukan usul…ia berada di nombor 27 dalam senarai, apabila tiba masanya kita akan lakukan.” — Bernama