BUNDESLIGA JERMAN
BUNDESLIGA kembali pada Sabtu dalam stadium kosong, tetapi peminat Jerman diberi amaran untuk menjauh diri dan pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa perlawanan boleh dihentikan jika terlalu banyak penyokong berkumpul di luar stadium.
Bola sepak Jerman akan menjadi peneraju liga teratas Eropah dengan menyambung semula perlawanan dua bulan setelah dihentikan oleh penyebaran Covid-19, tetapi strateginya penuh dengan risiko.
Di negara yang gilakan bola sepak dengan rata-rata kehadiran penonton tertinggi di dunia, adakah penyokong yang dilarang ke stadium dapat menjauhkan diri?
Di Saxony, di mana pasukan tempat ketiga RB Leipzig akan menjadi tuan rumah kepada pasukan pertengahan liga Freiburg pada petang Sabtu, Menteri Dalam Negeri wilayah Roland Woeller telah mengeluarkan ancaman yang jelas.
“Peminat tidak boleh menggunakan perlawanan dalam stadium kosong sebagai alasan untuk berkumpul di hadapan stadium atau tempat lain,” katanya.
“Ini dapat menyebabkan perlawanan dihentikan.”
Kebimbangannya ternyata benar.
Beberapa ratus peminat berkumpul di Moenchengladbach ketika pasukan tuan rumah menewaskan Cologne 2-1 pada 12 Mac – satu-satunya perlawanan liga Jerman sebelum ini yang dimainkan dalam stadium kosong, hanya beberapa hari sebelum ‘lockdown’.
Eintracht Frankfurt telah merayu para penyokong mereka sebelum mereka kembali beraksi menentang Gladbach pada hari Sabtu.
Di bawah peraturan liga Jerman yang diterapkan untuk menyambung musim ini, pasukan tuan rumah bertanggungjawab untuk memastikan peminat tidak berusaha mendekati stadium untuk menyokong pasukan mereka daripada jauh.
Setelah berminggu-minggu perancangan teliti dan ujian besar-besaran pemain dan kakitangan belakang tabir, akan menjadi mimpi buruk bagi Bundesliga sekiranya para peminat berusaha menggagalkan pemulihan yang rapuh ini.
Tumpuan dalam perlwanan pada Sabtu ini adalah pertembungan di tempat sendiri Borussia Dortmund menentang Schalke dalam derby Ruhr, pertandingan yang biasanya akan menarik 82,000 penonton ke Signal Iduna Park.
Sebaliknya, ini adalah kali pertama perlawanan ini dimainkan tanpa penonton sejak ia bermula pada tahun 1925.
Stadium besar di Jerman – misalnya Allianz Arena yang sangat besar di Bayern Munich mempunyai kapasiti 75,000 – akan tetap kosong untuk beberapa waktu yang akan datang.
Terdapat kekhuatiran di pentas bola sepak Jerman bahawa ‘Ultras’ – peminat tegar yang sering memimpin nyanyian dalam perlawanan – akan kehilangan pengaruh keras mereka di kelab mereka.
Beberapa kumpulan penyokong tegar ini menentang permainan dalam stadium kosong, kerana mereka merasakan inisiatif itu didorong oleh alasan kewangan.
Kelab-kelab tersebut ingin menamatkan musim liga sebelum 30 Jun untuk mengumpulkan sekitar 300 juta euro akibat kontrak TV. – AFP