KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berpesan agar rakyat di negeri ini tidak mengamalkan budaya bersangka buruk antara satu sama lain.
Tegas Tun Pehin Sri, Sarawak terbukti sebagai sebuah negeri yang memiliki keharmonian dan perpaduan yang jitu di Malaysia hingga bandar rayanya mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai ‘Bandar raya Perpaduan’.
“Oleh demikian, kita harus berfikir dengan lebih berhati-hati mengenai hubungan yang kita ada namun standard minimum yang perlu kita pertahankan adalah tidak bersangka buruk terhadap sesiapa,” katanya.
Tun Pehin Sri berkata demikian semasa menyampaikan amanatnya pada Majlis Anugerah Malaysia Book of Record kepada Yayasan Perpaduan Sarawak di sebuah hotel terkemuka semalam.
Menurut Tun Pehin Sri, perpaduan rakyat Sarawak yang selama ini kekal hingga menjadi contoh negeri dan negara luar harus menjadi kebanggaan tetapi hasrat itu perlu sentiasa disemai ke dalam jiwa rakyat semua.
“Rakyat negeri ini terus mengekalkan hubungan baik bersama-sama…kita telah membuktikan bahawa kita dapat bertahan dengan cukup baik, kita telah membuktikan bahawa kita berasal daripada kumpulan yang berbeza dengan tradisi yang berbeza dan budaya yang berbeza namun tujuan praktikal (kita sama),” ujarnya.
Maka dengan itu, Tun Pehin Sri mengajak rakyat untuk berusaha menanam sikap perpaduan agar semakin tebal sebagai hasrat membina masyarakat yang lebih baik bagi anak-anak generasi akan datang.
“Saya harap setiap kita sebagai rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan berusaha untuk menyumbang kepada masyarakat kita dari masa ke semasa,
“Sebenarnya (inilah) cara untuk kita melihat semua agama (dan bangsa) berkembang (dengan baik),” tegas beliau sambil meminta rakyat mengabaikan anasir luar yang berbentuk ekstremisme hingga bileh mengganggu gugat keamanan Sarawak.
“Saya tahu bahawa kita berasal daripada pelbagai agama, bangsa dan sosial di negeri ini dan membuktikan bahawa kita dapat melakukannya pada masa lalu walaupun bukan dalam 100 peratus hasil yang baik tetapi sekurang-kurangnya telah mencapai sebuah masyarakat yang mempunyai dominan untuk mengekalkan sebagai standard minimum kebaikan yang dapat dikongsi oleh semua orang tanpa mengira kaum Cina, Iban, Bidayuh dan sesiapa sahaja anda,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Eksekutif YPS Datuk Aloysius J Dris, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Pengerusi Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, serta Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Oleh Diyana Samsuddin