KUCHING: Persatuan Anak Jati Lawas (JATI) disaran membantu masyarakat di Limbang dan Lawas terutamanya dari segi pendidikan dan kemahiran.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara yang paling penting sekali adalah mereka yang dari Limbang mahupun Lawas perlu mengambil apa sahaja peluang yang ada di Kuching bukan sahaja pendidikan dan kemahiran tetapi perusahaan dan perniagaan.
“Kita harus tumpukan kepada soal pendidikan dan kemahiran. Ini sesuatu yang kita tidak boleh abaikan kerana dunia sudah jauh berubah.
“Ini menjadi tanggungjawab kita bersama. Insyaallah, kita akan usahakan dari segi infrastruktur, apa yang penting adalah untuk mengangkat lagi pendidikan dan kemahiran-kemahiran di Limbang dan Lawas. Apa yang penting kita harus ada semangat untuk maju ke hadapan.
“Malah kita sedang bercakap tentang ekonomi baru dan ekonomi digital, dan perkara inilah kita harus sedarkan kepada masyarakat kita yang berada Limbang dan Lawas,” katanya pada Majlis Badudun Aidilfitri JATI Kuching di Dewan Sri Bunga Rampai di sini, hari ini.
“Ini penting sekali, walaupun memang ada program-program kerajaan, tetapi kita melalui persatuan ini, kita bergabung. Tidak apa, Lun Bawang dan sebagainya kita ambil peluang dan beri kesedaran tentang keperluan menguasai ilmu ini dan tingkat kemahiran masing-masing.
Beliau berkata, masyarakat Limbang dan Lawas juga perlu menguasai teknologi.
“Contohnya, Taman Perindustrian Sama Jaya. Di sini kita syarikat dari Jepun, China, Korea Selatan dan German. Ini memberikan peluang kepada kita.
“Kita harus sedarkan kepada masyarakat, sebab itu kita ada Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Lawas dan Limbang, malah kita akan kembangkan Giat Mara untuk kita tingkatkan kemahiran anak-anak.
“Saya lihat ramai lepasan CENTEXS di Lawas yang kini beroperasi di kampus sementara, malah lepasan Giat Mara yang sudah dapat kerja dalam syarikat-syarikat minyak dan gas.
Dalam pada itu, Majlis Badudun Aidilfitri yang dianjurkan itu disambut meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat dari Limbang dan Lawas yang sudah lama menetap di Kuching atas urusan pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.
Oleh NICKELYSON LAKUN