
KABONG: Pelaksanaan Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) terus membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup melalui penawaran barangan makanan segar pada harga lebih rendah daripada pasaran tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, program ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pengguna, malah turut membuka ruang kepada petani dan usahawan tempatan untuk memperluaskan pasaran produk mereka.
Menurut beliau, inisiatif tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat mendapat bekalan makanan berkualiti dengan harga berpatutan, sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Beliau berkata demikian pada Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) Peringkat DUN Kabong yang diadakan di Padang Bola Sepak Kabong, dekat sini kelmarin.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Sarawak (FAMA), Norsalawaty Abdul Kadir, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong, Sahariya Tahot serta agensi-agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut meluangkan masa mengadakan sesi tinjauan ke gerai-gerai jualan hasil pertanian tempatan selain beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung yang hadir.

Program JASS merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah dengan kerjasama FAMA bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan segar pada harga yang lebih berpatutan.
Melalui program ini, pelbagai produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, telur dan daging ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan, sekali gus menarik kehadiran masyarakat setempat.
Selain meringankan kos sara hidup, program ini juga bertujuan mempromosikan hasil pertanian tempatan, meningkatkan akses bekalan makanan serta memberi peluang kepada usahawan dan petani memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.
Kesimpulannya, pelaksanaan Program JASS ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui penawaran harga lebih rendah, malah turut menyokong perkembangan sektor pertanian tempatan serta memperkukuhkan hubungan antara kerajaan, agensi dan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman