Hampir dua tahun pandemik menyebabkan ramai orang terjejas, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Tidak terkira jumlah orang yang terjejas, kehilangan orang tersayang mahupnun terjejas ekonomi. Malah banyak syarikat terpaksa gulung tikar sehingga menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.
Ketika orang lain berjuang untuk menghadapi pandemik, Jasmin Lai Shaw Mae, 34, seorang pereka grafik mengambil keputusan untuk menjadi lebih kukuh sepanjang pandemik ini dan tidak membiarkan wabak ini menjejaskan masa hadapannya.
Dalam tahun 2019, Lai berhenti dari pekerjaan yang stabil dengan sebuah syarikat di Sibu yang telah disertainya selama lapan tahun. Beliau kemudian menyertai sebuah syarikat perancang majlis perkahwinan di Kuching.
Ternyata percaturan masa tidak sesuai sehingga ada ketikanya Lai diminta tidak datang kerja dan selalunya tiada tugasan kerana pandemik. Ketika terumbang-ambing dengan pekerjaan baharu ini, Lai menyedari beliau tidak akan ke mana-mana jika tidak melakukan perubahan.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, Lai mengambil keputusan untuk berhenti kerja lagi kerana menyedari tidak banyak yang dapat dia lakukan di syarikat baharu ini. Beliau juga merasa tidak selesa apabila majikannya terpaksa membayar gaji pekerja walaupun tiada pendapatan yang masuk.
Sebelum mendapat diploma di dalam rekaan grafik, Lai pernah menyuarakan minatnya di dalam bidang masakan dan tiba-tiba idea bidang kulinari muncul. Ahli keluarga Lai menyarankan beliau belajar untuk mendapatkan diploma dan memberitahu bidang masakan dan kuih-muih boleh dipelajari bila-bila masa, walaupun di rumah.
Selepas berhenti kerja keduanya, Lai tidak mahu berfikir banyak tentang apa yang beliau mahukan kerana merasakan inilah masanya untuk mencapai impiannya.
Beliau mula membeli peralatan dan bahan-bahan masakan dengan menggunakan duit simpanan sendiri dan mula bereksperimen membuat kek, biskut dan pastri.
“Saya ada ramai ahli keluarga dan merekalah yang menjadi pengkritik. Saya dapati apa sahaja yang saya buat, gula mesti dikurangkan kerana sekarang ini ramai yang amat prihatin dengan kesihatan masing-masing,” katanya.
Walaupun mengurangkan gula akan memendekkan jangka hayat segar pastri, Lai tetap memberitahu para pelanggannya.
Selepas beberapa bulan menguji kek, biskut dan pastrinya, Lai akhirnya mendapat keyakinan untuk menjual produknya, tetapi hanya kepada rakan-rakan terdekat. Dia cukup bimbang menunggu komen dan beliau meminta rakan-rakannya jujur membuat penilaian agar beliau dapat memperbaiki apa yang kurang.
Kepakaran utama Lai adalah kek keju yogurt, kek lapis, kek jeli, mocha, kek keju dengan biskut di dalamnya serta pelbagai pastri.
“Pengetahuan di dalam rekaan grafik membantu saya mencantikkan kek dan pastri,” katanya.
Selepas beberapa ketika, baharulah Lai yakin untuk menjual kepada orang luar dan membuat promosi melalui media sosial. Produk paling popular beliau ialah kek keju dan kek lapis. Bagi produk yang mudah rosak, Lai akan hanya membuatnya berdasarkan permintaan.
Untuk semua produknya, beliau menggunakan sebanyak mungkin bahan semulajadi, termasuk buah-buahan.
“Walaupun ia agak mahal, saya mahukan kualiti untuk para pelanggan saya. Memandangkan saya bekerja berseorangan, saya tidak berani menerima banyak tempahan tetapi bagi yang meraikan harijadi dan majlis tertentu, saya akan cuba untuk memenuhi permintaan mereka.
Tiga bulan lalu, Lai berjaya mendapatkan sebuah premis di Bandar Baharu Batu Kawah untuk meneruskan perniagaannya itu. Dengan adanya premis itu, ia memudahkan beliau untuk mempamer jualan dan memudahkan pelanggan untuk mengambil tempahan mereka.
Malah ibunya menggunakan ruang hadapan premisnya untuk menjual bunga-bunga dalam pasu bagi menarik pelanggan.
Walaupun kedainya ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lai berkata dia menggunakan masa tersebut untuk mencuba mencipta produk baharu.
Oleh CONNIE CHIENG