

SADONG JAYA: Penantian setia ahli keluarga di tebing Sungai Sadong akhirnya berakhir apabila jasad mangsa yang dibaham buaya ditemui dalam keadaan sempurna tubuh badan namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut, hari ini.
Mangsa, Mohd Faizal Abdilah, 30, ditemui oleh seorang nelayan pada jam 2.22 petang kira-kira tiga kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) sebelum dibawa ke PKB pada 2.28 petang.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa tiba di PKB pada 2.35 petang dan pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga yang berada di lokasi.
“Mangsa ditemui dalam keadaan sempurna tubuh badan namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis pada 2.59 petang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bapa mangsa ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak pagi tadi, tidak mampu mengungkapkan sebarang kata-kata ketika setia menunggu anaknya di tebing sungai, hanya wajah sayu yang jelas menggambarkan perasaannya sepanjang penantian itu.
Terdahulu, operasi SAR hari kedua dimulakan pada 9.30 pagi dengan pasukan menjalankan pencarian menggunakan teknik pencarian menyeluruh dalam radius anggaran lapan kilometer dari lokasi mangsa disambar.
Operasi tersebut melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dengan kekuatan satu jentera LFRT, sebuah Hilux dan sebuah bot aluminium.
Turut membantu dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), RELA serta penduduk kampung.
Mangsa sebelum ini dipercayai sedang menjala bersama seorang rakan di tebing sungai sebelum turun ke dalam air sedalam paras pinggang dan disambar buaya pada 12.40 tengah hari, semalam.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 3.00 petang.
Oleh Masrin Affirah