
SIMANGGANG: Warga pendidikan Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan besar mendiang Cikgu Andy Roy Junran yang telah mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi dalam memimpin Sekolah Kebangsaan (SK) Sbangki, Lubok Antu, khususnya dalam memperjuangkan kecemerlangan pendidikan di kawasan pedalaman.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada warga sekolah, malah kepada keseluruhan ekosistem pendidikan negeri terutama di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, mendiang Cikgu Andy dikenali sebagai seorang pemimpin sekolah yang berwawasan, berintegriti serta komited dalam memastikan murid pedalaman mendapat akses pendidikan berkualiti setara dengan sekolah di bandar.
“Mendiang telah mencurahkan khidmat bakti dengan penuh keikhlasan dan dedikasi dalam memimpin SK Sbangki. Usaha beliau memperkasa pendidikan di pedalaman akan terus menjadi legasi dan inspirasi kepada warga pendidik,” katanya semasa hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang di Taman Mutiara, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, rombongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak yang diketuai Omar Mahli hadir mewakili seluruh warga pendidikan negeri bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada mendiang Cikgu Andy, Guru Besar SK Sbangki serta mendiang Angelin Kibin, jururawat Hospital Sri Aman, dalam suasana penuh hiba.
Turut hadir ialah wakil Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu, Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman serta Persatuan Guru Besar Malaysia Sarawak Cawangan Lubok Antu bagi menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral kepada keluarga kedua-dua mendiang.
Omar turut menegaskan jasa dan pengorbanan mendiang Cikgu Andy dalam menjaga kebajikan murid dan guru, selain memperkukuh pengurusan sekolah di kawasan mencabar, akan sentiasa dikenang oleh warga pendidikan Sarawak.
Upacara penghormatan terakhir berlangsung dengan tertib dan penuh emosi, disertai bacaan doa serta penyampaian salam takziah daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selain sumbangan ikhlas kepada waris sebagai tanda solidariti dan keprihatinan.
Oleh Adi Safarman