
LUNDU: Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Lundu memainkan peranan penting sebagai medium penghubung maklumat dua hala antara kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, dengan rakyat.
Pegawai Tadbir, Muhammad Isa Limon yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI Sambutan Kemasyarakatan Kampung Biawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, JAPEN berfungsi sebagai penyalur maklumat sahih berkaitan dasar dan perancangan pembangunan kerajaan serta bertanggungjawab untuk sentiasa peka terhadap isu-isu masyarakat setempat.
“Sebagai contoh, di Kampung Biawak, sesetengah isu kritikal perlu diberi perhatian kerana kampung ini bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa komuniti setempat untuk terus menyokong program-program anjuran kerajaan bagi mendalami dasar dan pelbagai insentif kerajaan kepada rakyat.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip yang mewakili Pengarah Penerangan Sarawak berkata, pihaknya amat menghargai penyertaan dan kerjasama yang diberikan oleh jabatan serta Komuniti MADANI dalam menjayakan program berkenaan.
“Sebagai sebuah agensi yang dekat dengan masyarakat akar umbi, kami sangat memerlukan sokongan semua pihak terutama pemimpin tempatan dan ketua jabatan agar segala program JAPEN dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang program antaranya taklimat Jenayah Siber oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu serta ceramah kenegaraan bertajuk Penghayatan Rukun Negara dan kesedaran mengenai penyakit Rabies.
Program berkenaan telah dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada penduduk kampung, ketua jabatan dan agensi kerajaan, ketua kampung serta ahli-ahli Komuniti MADANI Kampung Biawak.
Turut diadakan demonstrasi anyaman tikar yang disasarkan kepada golongan wanita, sebagai satu kemahiran yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan sampingan.