
MIRI: Seorang pesara swasta berputih mata apabila kerugian lebih RM2.6 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi melalui aplikasi dikenali sebagai ‘STIFELAI’.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, laporan polis telah dibuat oleh mangsa, seorang lelaki berusia lewat 60-an, semalam.
Menurutnya, kejadian bermula pada awal April lalu apabila mangsa yang berada di rumah menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali.
“Suspek telah menawarkan peluang pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. Mangsa kemudiannya diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan bernama ‘STIFELAI’,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.
Tambah beliau, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2,615,241.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila usaha untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan gagal. Malah, suspek terus meminta bayaran tambahan kononnya sebagai syarat pengeluaran,” jelasnya.
Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.
Oleh Liong Chai Ling