KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kerusi Parlimen Bandar Kuching, Eric Tay Tze Kok merancang untuk menangani masalah di bandar raya ini.
Ia bertujuan ke arah perancangan bandar yang lebih baik seperti menaik taraf jalan raya bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas, menangani sistem perparitan dan tindakan susulan bagi menyelesaikan isu banjir.
Dalam manifestonya yang dilancarkan semalam, Tay mahu lebih banyak klinik dengan kemudahan perubatan yang lebih baik dan lebih banyak dewan serbaguna.
Beliau juga mencadangkan pembinaan rumah jagaan yang mampu dimiliki warga emas dan orang sakit.
Memandangkan kebimbangannya pada sektor perniagaan, Tay akan memperjuangkan pinjaman kadar faedah rendah dan insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sambil mewujudkan lebih banyak peluang untuk keusahawanan terutamanya bagi golongan belia dan wanita.
Tay memberi jaminan akan memperjuangkan lebih banyak penerbangan terus ke Kuching dan meningkatkan sektor pelancongan bagi memacu ekonomi domestik sambil meminta lebih banyak geran serta peruntukan persekutuan dan pengagihan adil di kalangan NGO, persatuan, agama, sekolah bebas dan sekolah mubaligh.
Beliau berkata mereka juga akan memperjuangkan autonomi untuk Sarawak khususnya dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan percukaian.
“Kuching adalah pintu masuk utama ke Sarawak sebagai ibu kota dan ia juga pusat pentadbiran politik, perdagangan, kewangan, pendidikan, dan budaya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh 18 tahun DAP menguasai kerusi Parlimen P195 Bandar Kuching, Kuching bukan sahaja gagal untuk meremajakan diri, malah kelihatan semakin reput dan tidak menepati tempat dan masa.
“Kini sudah tiba masanya untuk perubahan dalam pilihan raya ini. Hanya GPS, jika dipilih ke kerusi Parlimen Bandar Kuching, boleh membawa pembangunan dan kemakmuran kepada bandar.
“Dalam konteks ini, GPS mesti memenangi semua 31 kerusi Parlimen termasuk Bandar Kuching. GPS akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk merundingkan pemulihan autonomi Sarawak, yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.
“Sarawak yang lebih kukuh membawa kepada Kuching yang lebih makmur.
“Jika dipilih sebagai Ahli Parlimen, saya akan meneruskan agenda ‘Utamakan Sarawak’ tanpa rasa takut dan tidak mementingkan diri menyuarakan keperluan dan rungutan rakyat.
“Ini bagi memastikan bahawa suara dan tuntutan kami didengari dengan lantang dan jelas. Saya akan mencari dana persekutuan tambahan , dan dengan sokongan penuh agensi negeri, untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan untuk Kuching,” katanya.
Oleh CONNIE CHIENG