KABONG: Rakyat negeri ini, khasnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pembohongan, fitnah dan hasutan yang dilemparkan ke atas Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pemimpinnya menerusi media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata pembohongan, fitnah dan hasutan ini dibuat semata-mata untuk menimbulkan kecurigaan dan merendahkan Kerajaan Sarawak serta pemimpinnya.
“Jangan percaya bulat-bulat berita yang terkandung dalam media sosial seperti aplikasi Facebook dan juga kumpulan Whatsapp.
“Kadang-kadang kita lebih mudah percaya dan terpedaya dengan media sosial yang sengaja mahu mengapi-apikan dan memecah-belahkan masyarakat dengan berita yang boleh mengelirukan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Chee Kadir berkata ada juga beberapa individu dan kumpulan tertentu yang di dapati memuat naik berita dengan menafikan pembangunan yang telah diusahakan oleh Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Individu dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini memang gemar memutarbelitkan fakta demi mencari publisiti murahan.
“Seharusnya, mereka ini berfikir secara matang mengenai usaha pembangunan dilakukan oleh Kerajaan Sarawak di bawah GPS, bukannya sentiasa menidakkan apa yang telah dan bakal dilaksanakan, dan mereka sepatutnya tidak membuat publisiti murahan dengan menafikan pembangunan yang dibawa oleh GPS dan CM Abang Jo,” ujarnya.
Golongan yang tidak bertanggungjawab berkenaan kata Chee Kadir juga seharusnya tidak sibuk dengan propaganda yang tidak berasas dan bersikap seperti kebudak-budakan kerana tidak dapat berfikir secara matang.
“Saya juga dapati ada juga individu di kawasan DUN Kabong ini yang sengaja memutar-belitkan dan cuba memecah-belahkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum, dengan menuduh pemimpin dan wakil rakyat dalam memberikan pembangunan di antara kawasan kampung dengan rumah panjang secara pilih kasih.
“Sikap pilih kasih dan hanya memberikan pembangunan di kawasan tertentu bukan cara saya. Setiap kampung atau rumah panjang di DUN Kabong layak menerima projek pembangunan tanpa mengira sokongan politik mereka.
“Walaupun projek pembangunan itu tidak dapat dilaksanakan secara serentak dan dilakukan berfasa, namun saya telah melakukan yang terbaik agar semua rakyat di kawasan DUN Kabong mendapat manfaat,” tegas beliau.
Beliau mengingatkan penduduk agar tidak terpengaruh dengan pihak ini yang cuba memecahbelahkan perpaduan, selain pihak tertentu yang menyebarkan maklumat tidak betul.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di DUN Kabong agar mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama untuk melancarkan pelaksanaan pembangunan di kawasan itu.
“Kerajaan GPS mempunyai perancangan tersendiri yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dalam tempoh jangka masa panjang. Justeru, kita memerlukan sokongan untuk meneruskan agenda pembangunan.
“Usaha itu tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana memerlukan perancangan rapi. Saya memberi jaminan akan terus berusaha dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik, khasnya kepada rakyat di DUN Kabong,” ujarnya.