Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jangan terlepas, hargailah
  • RENCANA
  • TEMPATAN

Jangan terlepas, hargailah

Utusan Sarawak 3 hours ago

DALAM kehidupan, ramai manusia terlalu sibuk mengejar apa yang belum dimiliki sehingga terlupa menghargai apa yang sudah berada di sisi. Kita sering merasakan sesuatu itu akan sentiasa ada.

Kuasa yang dimiliki dianggap kekal. Sahabat yang setia dianggap akan sentiasa bersama. Kakitangan yang berkhidmat dengan penuh kesungguhan dianggap tidak akan pergi. Ahli keluarga yang sentiasa memahami dianggap akan terus menunggu.

Hakikatnya, kehidupan sentiasa berubah. Masa bergerak tanpa menunggu sesiapa. Apabila sesuatu yang berharga itu terlepas daripada genggaman, barulah hati mula merasai kehilangan. Ketika itu, penyesalan datang tanpa mampu mengubah keadaan.

Lirik lagu “Jangan Terlepas” membawa satu peringatan yang sangat mendalam. Jangan terlalu mudah melepaskan mereka yang setia, mereka yang pernah berjasa dan mereka yang sentiasa berada di sisi ketika susah dan senang kerana apabila mereka sudah tiada, belum tentu ada pengganti yang mampu mengisi tempat yang sama.

Bagi memahami mesej ini dengan lebih mendalam, marilah kita hayati akronim TERLEPAS.

T – TAHU MENGHARGAI

Segala yang bernilai bermula dengan penghargaan. Ramai manusia hanya menghargai sesuatu setelah kehilangannya. Ketika masih bersama, kesetiaan dianggap biasa. Ketika masih ada kuasa, sokongan dianggap kewajipan. Ketika masih menerima bantuan, jasa dianggap perkara kecil.

Sedangkan setiap manusia mempunyai harga dirinya sendiri. Mereka ingin dihargai, bukan sekadar digunakan. Mereka ingin dikenang, bukan hanya dicari ketika diperlukan.

Penghargaan tidak semestinya dalam bentuk ganjaran besar. Kadangkala satu ucapan terima kasih lebih bernilai daripada seribu janji. Kadangkala satu penghormatan kecil mampu mengikat kesetiaan yang besar.

Orang yang tahu menghargai akan sentiasa mempunyai insan yang mahu berjalan bersamanya. Sebaliknya, orang yang tidak tahu menghargai akhirnya akan berjalan seorang diri.

E – ELAKKAN KEANGKUHAN

Kuasa, kedudukan dan pengaruh sering menjadi ujian yang besar. Oleh sebab itu, kita selalu diingatkan apabila berkuasa jangan keterlaluan, yang lemah pasti rasa tertekan.

Kuasa yang digunakan tanpa belas ihsan akan meninggalkan luka dalam hati manusia. Mungkin mereka tidak mampu melawan. Mungkin mereka memilih untuk diam. Namun, hati yang terluka tidak mudah melupakan.

Keangkuhan menjadikan seseorang merasakan dirinya sentiasa betul. Pandangan orang lain tidak lagi didengar. Teguran dianggap ancaman. Kritikan dianggap kebencian. Padahal sejarah membuktikan bahawa ramai pemimpin jatuh bukan kerana kekurangan kuasa, tetapi kerana kehilangan manusia yang pernah setia menyokong mereka. Kuasa yang baik ialah kuasa yang mengangkat manusia, bukan menindas mereka.

R – RUANG DAN PELUANG

Setiap manusia memerlukan ruang untuk berkembang dan peluang untuk membuktikan kemampuan. Tidak semua orang sempurna. Tidak semua orang mampu memenuhi harapan kita setiap masa. Namun, itu bukan alasan untuk terus menghukum dan menolak mereka.

Kadangkala seseorang hanya memerlukan sedikit kepercayaan untuk menunjukkan potensinya. Kadangkala seseorang hanya memerlukan peluang kedua untuk membuktikan kesungguhannya.

Apabila ruang dan peluang diberikan, hubungan akan menjadi lebih kukuh. Kepercayaan akan berkembang. Kesetiaan akan bertambah kuat. Sebaliknya, apabila setiap kesilapan dihukum tanpa belas ihsan, akhirnya yang tinggal hanyalah ketakutan dan kekecewaan.

USAHAWAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Noor Azrina Ishak, 42, (kanan) menunjukkan antara Cake Perhaps yang dijualnya pada Program RIUH Pi HAWANA sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth hari ini. Foto BERNAMA

L – LIHAT DENGAN HATI

Manusia sering menilai berdasarkan apa yang nampak di mata, sedangkan banyak perkara hanya dapat difahami melalui hati. Ada orang yang tidak pandai bercakap, tetapi sangat setia. Ada orang yang tidak menonjol, tetapi sentiasa bekerja keras. Ada orang yang jarang dipuji, tetapi diam-diam menyumbang dengan penuh ikhlas.

Justeru, kita jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Jangan terlalu mudah mempercayai persepsi. Lihatlah dengan hati. Melihat dengan hati bermaksud memahami perjuangan orang lain, menghormati pengorbanannya dan menilai manusia secara adil. Apabila kita belajar melihat dengan hati, kita akan lebih menghargai insan-insan yang selama ini mungkin tidak disedari nilainya.

E – EMPATI DALAM HUBUNGAN

Hubungan yang kukuh lahir daripada empati. Empati ialah kemampuan merasai apa yang dirasai oleh orang lain. Kita mungkin tidak berada di tempat mereka, tetapi kita cuba memahami keadaan mereka. Ramai hubungan rosak bukan kerana tiada kasih sayang, tetapi kerana tiada empati.

Kata-kata yang kasar mungkin dilupakan oleh yang mengucapkannya, tetapi boleh kekal lama dalam ingatan yang mendengarnya. Orang akan ingat apa yang pernah kita katakan kepada mereka.

Lidah mungkin hanya mengambil beberapa saat untuk melafazkan kata-kata, tetapi hati boleh menyimpannya selama bertahun-tahun. Sebab itu, sebelum bercakap, fikirkan kesannya kepada hati manusia.

P – PELIHARA KESETIAAN

Kesetiaan ialah sesuatu yang sangat mahal. Ia tidak boleh dibeli dengan wang. Ia tidak boleh dipaksa dengan kuasa. Ia lahir daripada kepercayaan dan penghargaan.

Orang yang setia akan bersama ketika keadaan baik dan buruk. Mereka bukan sekadar hadir ketika kita berjaya, tetapi juga ketika kita menghadapi kesukaran.

Malangnya, ramai yang hanya menyedari nilai kesetiaan setelah kehilangannya. Apabila orang yang setia pergi, yang tinggal hanyalah kenangan dan penyesalan.

Sebab itu, peliharalah mereka yang masih setia. Jangan tunggu sehingga mereka pergi membawa bersama segala pengorbanan yang pernah diberikan.

A – AKIBAT KEHILANGAN

Kehilangan sentiasa mengajar manusia sesuatu yang tidak diajar oleh kemewahan. Ketika seseorang masih berada di sisi, kita sering merasakan kehadirannya biasa sahaja. Namun, apabila dia tiada, barulah kekosongan itu terasa. Barulah kita menyedari bahawa dialah yang selama ini membantu tanpa banyak bicara.

Barulah kita menyedari bahawa dialah yang selama ini mempertahankan ketika orang lain menjauhkan diri. Inilah realiti kehidupan apabila hilang baru terasa. Ia sering berlaku berulang kerana kita manusia leka dan tidak belajar dari Sejarah. Jangan tunggu kehilangan menjadi guru. Belajarlah menghargai sebelum terlambat.

S – SYUKURI SEBELUM SEMUANYA TERLEPAS

Akhirnya, segala-galanya kembali kepada rasa syukur. Orang yang bersyukur akan menghargai apa yang dimiliki. Dia menghargai keluarga sebelum kehilangan mereka.

Dia menghargai sahabat sebelum mereka menjauh. Dia menghargai pekerja sebelum mereka meninggalkan organisasi. Dia menghargai masa sebelum usia semakin berkurangan. Dia menghargai peluang sebelum pintu tertutup.

Syukur menjadikan manusia lebih berhati-hati daripada melepaskan perkara yang bernilai kerana dia sedar bahawa tidak semua yang hilang akan kembali.

Jangan terlepas orang yang setia kerana terlalu sibuk mencari yang sempurna. Jangan terlepas sahabat yang ikhlas kerana terlalu percaya kepada pujian sementara. Jangan terlepas insan yang pernah berjasa kerana merasakan mereka akan sentiasa ada.

Hidup ini mengajar satu hakikat yang sangat mahal. Bukan semua yang pergi dapat diganti. Bukan semua yang hilang dapat dicari semula. Dan bukan semua penyesalan mempunyai peluang kedua.

Maka, sebelum semuanya terlepas, hargailah. Sebelum semuanya menjauh, dekatilah. Sebelum semuanya menjadi kenangan, peliharalah. Kerana apabila yang setia sudah terlepas, yang tinggal hanyalah penyesalan yang tidak mampu mengubah apa-apa.

Wallahu a’alam bissawab.

Continue Reading

Previous: Farley terbuka pertimbang cawangan baharu di kawasan berkeperluan
Next: Perarakan Niti Daun semarak warisan nenek moyang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.