Jangan sekadar rakam, terus lapor aktiviti mencurigakan

Facebook
WhatsApp
KETUA Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) Kota Samarahan, Inspektor Hailwandi Suhaili pada Program Dialog Agensi Penguatkuasaan Tempatan Bersama Komuniti di Open University Malaysia (OUM) Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KOTA PADAWAN: Masyarakat digesa supaya tidak sekadar merakam kejadian atau aktiviti mencurigakan sebelum menyebarkannya di media sosial, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) Kota Samarahan, Inspektor Hailwandi Suhaili berkata, tindakan segera daripada masyarakat amat penting bagi membantu polis mengesan suspek serta menjalankan siasatan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, masyarakat kini mempunyai kemudahan menerusi aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) yang membolehkan maklumat berkaitan jenayah disalurkan dengan mudah, termasuk gambar, video dan koordinat lokasi.

“Kalau nampak sesuatu yang mencurigakan, jangan tunggu. 

“Jangan hanya rakam video selama 15 atau 30 minit dan kemudian muat naik ke Facebook atau TikTok. Terus hubungi polis supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap semasa sesi perkongsian pada Program Dialog Agensi Penguatkuasaan Tempatan Bersama Komuniti di Open University Malaysia (OUM) Kuching, hari ini.

Hailwandi berkata, maklumat yang diterima melalui VSP akan dipantau dan disalurkan kepada bahagian atau unit berkaitan untuk tindakan lanjut, manakala identiti pengadu turut dirahsiakan.

Katanya, pihaknya sebelum ini menerima pelbagai maklumat daripada masyarakat termasuk berkaitan kesalahan lalu lintas, individu mencurigakan dan disyaki kegiatan pengedaran dadah.

“Kalau maklumat itu berkaitan jenayah, kita akan salurkan kepada bahagian yang bertanggungjawab untuk tindakan. 

“Kita juga akan memberikan maklum balas kepada pengadu mengenai tindakan yang telah diambil,” katanya.

Beliau berkata, VSP turut menyediakan fungsi butang panik yang membolehkan pengguna menghantar isyarat kecemasan kepada pihak polis bagi mendapatkan tindakan segera.

Selain itu, katanya, aplikasi berkenaan mempunyai fungsi pendaftaran balik kampung yang membolehkan orang awam mendaftarkan kediaman mereka ketika meninggalkan rumah untuk tempoh tertentu.

“Kalau pemilik rumah balik kampung, mereka boleh mendaftarkan kediaman melalui VSP supaya anggota polis boleh mengetahui rumah tersebut ditinggalkan dan melakukan rondaan,” katanya.

Hailwandi turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menangguhkan laporan sekiranya berlaku kejadian seperti kecurian, pecah rumah, pecah kedai atau aktiviti mencurigakan.

Menurutnya, polis sentiasa bersedia untuk menerima maklumat dan laporan daripada masyarakat bagi membolehkan tindakan diambil dengan segera.

“Polis dan masyarakat perlu bekerjasama untuk mencegah jenayah. Kalau berlaku sesuatu, jangan tunggu. Hubungi polis dengan segera,” katanya.

Oleh Adele Rissa