
LONG LAMA: Generasi belia di kawasan luar bandar digesa untuk bangkit menjadi penggerak utama pembangunan dan bukannya sekadar menjadi pemerhati terhadap segala agenda transformasi yang telah dirancang.
Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Dato Dennis Ngau berkata, kawasan Long Lama kini sedang berada pada fasa perubahan yang amat penting.
“Pelbagai agenda pembangunan fizikal dan infrastruktur moden sedang giat dilaksanakan bagi mengubah landskap ekonomi. Ia sekali gus membuka ruang pendapatan yang luas kepada seluruh komuniti setempat.

“Generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran tinggi untuk mengambil alih serta memacu kelestarian pembangunan ini.
“Saya sentiasa percaya bahawa bakat dan potensi tidak pernah mengenal sempadan geografi. Anak-anak dari luar bandar mempunyai kebolehan yang sama hebat dengan mereka yang berada di bandar. Jangan sesekali membiarkan asal-usul membatasi impian anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Projek Impian Direalisasikan (PRO-DR) Siri Ke-11 bertempat di SMK Long Lama, Baram hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan turut menyifatkan penganjuran program PRO-DR oleh TEGAS bersama rakan strategik sebagai satu langkah proaktif yang sangat bermakna dalam merapatkan jurang pendidikan serta membawa peluang kerjaya terus ke pintu masyarakat luar bandar.
Beliau juga menyeru peranan aktif daripada seluruh lapisan masyarakat setempat terus melabur, memberi bimbingan, dan menyokong penuh usaha anak-anak dalam menimba ilmu pengetahuan.
Siri jelajah PRO-DR Roadshow di Long Lama ini merupakan lokasi ketiga daripada 14 lokasi keseluruhan yang dipilih bagi edisi kali ini, sebelum program diteruskan ke Daerah Tatau.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan termasuk 40 reruai pameran pendidikan dan kerjaya, sesi perkongsian, serta aktiviti interaktif seperti TVET Master dan PRO-DR EA FC 2026 Challenge.
Program edisi kali ini berjaya menghimpunkan lebih 300 pelajar dan guru daripada lima buah sekolah sekitar iaitu SMK Long Lama, SMK Tinjar, SMK Bakong, SJK(C) Kee Tee, dan SK Ubong Imang.