
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menegaskan bahawa isu iklan haram merupakan cabaran berterusan yang turut dihadapi pihak berkuasa tempatan di seluruh negara, dan bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan di peringkat bandar raya ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, dakwaan kononnya penguatkuasaan MBKS tidak berkesan seperti dibangkitkan oleh Michael Kong adalah tidak adil dan tidak tepat.
“Masalah ini bukan perkara baharu. Setiap kali iklan haram diturunkan, ia akan diganti semula dalam masa beberapa jam sahaja. Fenomena ‘kucing dan tikus’ ini berlaku setiap hari walaupun tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan,” jelasnya.
Menurut Dato Wee, keluasan kawasan pentadbiran MBKS ialah 61.53 kilometer persegi, dengan kekuatan hanya 40 anggota penguat kuasa yang turut memikul pelbagai tanggungjawab lain termasuk pemeriksaan pasar, kawalan penjaja, pelupusan haram, kesalahan bangunan, pelesenan anjing, serta penguatkuasaan tempat letak kereta.
“Menuduh seolah-olah pegawai penguat kuasa MBKS tidak menjalankan tugas adalah tidak wajar,” tegasnya lagi.
Beliau menjelaskan, anggota MBKS setiap hari dikerahkan untuk menurunkan pelekat, kain rentang dan iklan tidak sah yang dipasang di tiang lampu, papan tanda serta kemudahan awam. Namun, pengendali iklan haram ini bergerak secara anonim dan bertindak pantas menggantikan iklan yang diturunkan.
Bagi menangani punca sebenar masalah ini, MBKS telah menulis secara rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaporkan nombor telefon dan jejak digital yang terdapat pada iklan berkenaan.
“Memandangkan MCMC berada di bawah bidang kuasa Timbalan Menteri daripada parti DAP, MBKS berharap Y saudara Michael Kong dapat membantu mempercepatkan tindakan susulan daripada MCMC dan agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Dato Wee menegaskan, tindakan penguatkuasaan tidak boleh bersifat bersendirian. Ia memerlukan kerjasama pelbagai agensi termasuk MCMC dan pihak polis.
“Tiada gunanya saling menuding jari. Daripada hanya bercakap dan mengkritik, lebih baik kita sama-sama mencari penyelesaian yang membawa hasil nyata kepada rakyat,” ujarnya.
MBKS, katanya, akan terus komited memelihara kebersihan, keindahan dan ketenteraman awam di bandar raya ini serta mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuk ketua masyarakat, wakil rakyat dan orang awam untuk melaporkan iklan haram melalui aplikasi iPeople atau terus ke Bahagian Penguatkuasaan MBKS.
“Pendekatan yang membina dan tanggungjawab bersama akan sentiasa memberikan hasil lebih baik daripada sekadar kritikan,” tambahnya.