SIBU: Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang cerita atau kandungan dalam media sosial yang tidak sahih faktanya kerana dikhuatiri boleh mewujudkan kerisauan, kebimbangan dan mengancam ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihak polis memandang serius perbuatan menyebar video serta berita palsu ini yang sekali gus telah mencetuskan kebimbangan serta kegusaran masyarakat.
“Pihak kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998, penggunaan rangkaian perkhidmatan mana-mana aplikasi secara tidak wajar.
“Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Terdahulu, sekitar jam 10 pagi tadi, pihak polis telah terkesan satu rakaman video yang berdurasi 00:48 saat, telah dikongsikan oleh orang ramai dalam satu aplikasi media sosial.
Rakaman video tersebut memaparkan kejadian melepaskan tembakan di dalam sebuah kedai makan di pusat bandar Sibu, adalah palsu. Kejadian sebenar adalah berlaku di luar negara.
Katanya, pihak polis ingin menasihatkan semua pengguna media sosial agar menghentikan tindakan menyebarkan video tersebut dan tidak membuat sebarang komen serta spekulasi.
“Orang ramai juga dinasihatkan lebih bertanggungjawab serta tidak menyebarkan sebarang berita palsu dan tidak benar,” katanya.