KUALA LUMPUR: Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan retorik atau slogan semata-mata, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Ugak Kumbong.
“Semua pihak harus berganding bahu dalam menjayakan agenda tersebut.
“Perbezaan fahaman politik harus diketepikan dan bersama-sama membangunkan negara selari dengan ‘Malaysia Madani’. Apa yang kita namakan, kita tidak mahu ia hanya menjadi sekadar kata-kata atau hanya slogan.
“Pada asasnya, pengenalan Malaysia MADANI sebagai langkah mengangkat semula martabat negara bangsa yang tertegak berteraskan prinsip kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan menuju Malaysia baharu yang megah di persada dunia,” tegasnya bahawa semua pihak perlu memahami makna di sebalik konsep tersebut yang seterusnya mampu member impak perubahan kepada rakyat secara menyeluruh.
Selain itu, konsep Malaysia Madani ini amat penting diselami dan dicerna oleh semua peringkat penjawat awam.
Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pada 2023, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri telah diluluskan peruntukan sebanyak RM4.6 juta untuk melaksanakan Pelan Komunikasi dan Promosi Agenda Malaysia Madani.
“Ini bertujuan menyebarluaskan maksud sebenar Malaysia MADANI kepada rakyat melalui pelbagai medium seperti saluran televisyen, radio, percetakan papan iklan, penerbitan ilmiah, pembikinan video, promosi di media sosial dan sebagainya,” katanya bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim pada
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 2023, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, beberapa Kementerian lain sebagai contoh, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut aktif menjalankan fungsinya untuk menyebarluaskan maklumat kenegaraan khususnya Malaysia Madani bagi meningkatkan jati diri dan semangat patriotik rakyat.
Manakala, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) turut terlibat dalam mengadakan program-program mempromosikan perpaduan dalam Agenda Malaysia MADANI melalui penyiaran dan Kembara Perpaduan Malaysia MADANI.
“Selain itu, usaha promosi dan penerangan Agenda Malaysia MADANI juga giat dilaksanakan melalui Unit Komunikasi Korporat semua Kementerian.
“Begitu juga dengan penganjuran Program Cakna Malaysia Madani yang mensasarkan pekerja barisan hadapan seperti agensi penguatkuasa, ahli CUEPACS, para ahli akademik, institusi-institusi latihan, mahasiswa dan sebagainya akan membantu melancarkan gerak kerja memberi kefahaman Agenda Malaysia Madani,” ujarnya.
Katanya lagi, melalui usaha-usaha yang dinyatakan, konsep Malaysia Madani bukan sahaja lebih difahami, malah ia memudahkan Kerajaan dan rakyat bersama-sama dalam membina masyarakat yang berilmiah dan bertamadun.