KUCHING: Rakyat Sarawak perlu menjadikan iktibar mengenai pengabaian dilakukan ketika pemerintah Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan PH ketika itu mengabaikan hak, kepentingan dan kebajikan rakyat Sarawak.
“Pelbagai janji yang ditaburkan untuk rakyat Sarawak gagal ditunaikan. Malah banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat Sarawak dibatalkan tanpa memperdulikan nasib kita.
“Perkara ini harus menjadi iktibar agar pisang tidak berbuah dua kali,” katanya yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Abang Johari berkata demikian dalam ‘Amanat Pengerusi GPS’ yang terkandung dalam Manifesto GPS dilancarkannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
PH adalah gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Tiga parti ini turut bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Abang Johari berkata PRU-15 menentukan hala tuju dan masa depan rakyat Sarawak dan Malaysia.
Katanya, sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia, rakyat Sarawak mesti memastikan kemenangan besar dan bergaya GPS.
“Para pengundi Sarawak yang dicintai perlu membuat pilihan bijak dengan memilih GPS demi kestabilan politik dan sosial, kemajuan dan pembangunan serta kemakmuran ekonomi.
“Sebagai gabungan parti politik tempatan yang berwibawa dan mengutamakan kepentingan Sarawak, GPS komited memperjuangkan dan mengembalikan hak dan keistemewaan Sarawak, selaras dengan aspirasi asal penubuhan Malaysia.
“Mandat penuh pengundi Sarawak membolehkan GPS mempunyai suara yang kuat di Parlimen. Perwakilan Sarawak yang banyak akan menentukan undang-undang yang digubal memberi manfaat kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata kepentingan Sarawak juga akan diutamakan dalam penggubalan dasar, inisiatif dan peruntukan penbangunan Kerajaan Persekutuan di Sarawak.
“Kita perlu mengelak daripada keadaan politik Malaysia yang tidak stabil sekali lagi ketika negara berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.
“Sokongan kuat kepada GPS penting demi masa depan Sarawak dan Malaysia yang lebih gemilang dan terjamin.
“Saya merayu agar rakyat Sarawak memberi sokongan padu dan mengundi GPS demi menjadikan Sarawak wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Oleh KADIR DIKOH