PEGUAM Datuk Zaid Ibrahim dalam video dimuat naik di facebooknya baru-baru ini mempersoalkan mengapa Kerajaan Perpaduan memberi fokus kepada Sarawak dan Sabah terutama bab ‘perkongsian pendapatan’, sedangkan ia tidak dilaksanakan untuk negeri-negeri di Semenanjung.
Beliau menyarankan ditubuh jawatankuasa khas untuk melihat kepentingan negeri-negeri di Semenanjung, dalam usaha juga untuk menyelesaikan masalah Sabah dan Sarawak.
“Memanglah kita banyak ahli politik nak selesai isu Sabah Sarawak ini, tetapi nak selesai, kita harus adil dengan Semenanjung. Sabah, Sarawak masuk Malaysia bukan kita paksa, ada Suruhanjaya Cobbold yang tanya orang sana, nak masuk Malaya ke? Mereka kata ‘ya’ tetapi tiada siapa tanya kita pun di Semenanjung, Malaya dulu,” katanya dalam video itu.
Dipercayai Zaid merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai peruntukan khas yang diberikan kepada Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, kini ditingkatkan kepada RM300 juta setahun berbanding RM16 juta yang diterima sebelum ini.
Menurut Anwar jumlah itu diperuntukkan sebagai langkah awal bagi menyelesaikan tuntutan mengikut Perkara 112D sebelum formula awal itu diperinci serta dicerakinkan semula supaya ia dapat terus diguna pakai, untuk memastikan Sarawak dan juga Sabah mendapatkan peruntukan yang wajar pada masa depan.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika diminta mengulas menyatakan selama ini Semenanjung mendapat manfaat dengan segala bentuk pembangunan.
“Itu yang masih kurang. Jika Zaid Ibrahim datang ke Sabah dan Sarawak, tengoklah sendiri keadaan betapa jauh ketinggalan dari segi infrastruktur, dari segi jalan raya, klinik-klinik desa dan sekolah daif yang masih begitu banyak,” katanya kepada penulis.
Malah beliau menempelak Zaid yang menyatakan Sabah dan Sabah masuk Malaysia, tetapi hakikatnya kedua-dua negeri ini bersama Tanah Melayu dan Singapura membentuk Malaysia pada 1963.
Pendapat itu disokong Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas), Datuk Abdullah Saidol kerana Sarawak tidak pernah ‘masuk’ Malaysia dan ia sebuah wilayah yang bersama Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu menubuh Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Zaid sebagai seorang peguam dan ahli politik berpengalaman, saya menjangka akan mendengar pendapat yang lebih bernas daripada beliau terutama perkara melibatkan MA63 atau apa-apa yang berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Madya Dr Novel anak Lyndon pula berkata isu fundamental ialah pembentukan Malaysia hasil tiga entiti dan saranan Suruhanjaya Cobold sebagaimana yang terkandung dalam MA63.
“Apa jua yang terkandung dalam MA63 bukan sahaja perlu dihormati tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan,” katanya.
Hakikatnya, Zaid seolah-olah mahu mendapat ‘political mileage’ dengan membangkit isu yang tidak sepatutnya diungkit kerana sudah termaktub dalam MA63 dan kesudiaan Kerajaan Pusat untuk menanganinya.
Seperti kata Abdul Karim, Sarawak sudah merdeka 60 tahun tetapi kemajuan pembangunan tidak setara jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.
“Perkara macam inilah yang perlu diperhatikan agar tidak terus meneruskan tertunggak di belakang. Saya percaya Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang telah melalui banyak pancaroba dalam kerjaya politiknya dapat merasakan nadi rakyat di Semenanjung dan Sabah, Sarawak,” katanya.
Bagi Abdullah Saidol, anak Sarawak akan terus menyokong setiap usaha untuk melindungi dan menuntut hak serta kepentingan Sarawak seperti yang tersurat dalam MA63 dan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau Zaid benar-benar ingin mempertahan hak negeri beliau dan kepentingan orang Melayu, itu hak dia, tapi jangan sentuh dan mempersoalkan hak dan kepentingan Sarawak,” katanya yang juga seorang peguam sebelum ini, kepada penulis.
Dr Novel pula berkata, meskipun isu utama yang cuba dibahaskan ialah ketidakadilan pengagihan kek ekonomi, agihan itu perlu dijadikan sebagai agenda nasional dan bukannya agenda parti atau individu.
“Mungkin apa yang dicadangkan oleh Zaid melalui penubuhan jawatankuasa khas untuk melihat kesenjangan ekonomi dan sosial adalah sesuatu yang baik, namun perlu ada tekad politik merentasi fahaman politik kepartian,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju apabila Zaid menggunakan istilah ‘buli’ kononnya negeri-negeri di Semenanjung kena ‘buli’ oleh Kerajaan Perpaduan apabila tumpuan kini diberi kepada Sarawak dan Sabah.
“Saya tidak bersetuju dengan istilah buli kerana isu fundamentalnya ialah penbentukan Malaysia hasil tiga entiti,” katanya.
Dalam video itu, Zaid turut mempertikai penolakan Ketua Menteri Sabah terhadap penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari pantai.
“Kita di Kelantan nak minta duit minyak pun tak boleh. Sebab apa? Kerajaan Persekutuan kata ‘ohh… perairan negeri cuma tiga batu nautika. Jadi kita tak dapat wang ihsan, royalti,” kata Zaid.
Untuk isu ini, Abdul Karim berkata Zaid tidak boleh membuat perbandingan bagaimana perasaan orang di Kelantan, Selangor atau negeri lain di Semenanjung kerana perjanjian MA63 bukan ditandatangani oleh negeri-negeri terbabit.
“Sebaliknya ia ditandatangani oleh wakil wilayah Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak.
“Sebab itulah kalau kita lihat dalam Perlembagaan Malaysia, ada memberi kelebihan kepada hak-hak Sabah dan Sarawak kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain,” kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu.
Oleh sebab itu kata beliau, perkara ini tidak perlu diungkit kenapa Sabah dan Sarawak memohon sehingga melebihi 200 batu nautika walhal Kelantan hanya dapat tiga batu nautika.
“Ini kerana kalau kita lihat untuk seluruh wilayah Malaya yang ada satu Kerajaan Pusat yang menjaga pada masa itu. Sabah dan Sarawak pun ada kerajaannya sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Abdullah Saidol bertanya mengapa Zaid ketika menjadi Menteri Undang-Undang sebelum ini tidak bercakap mengenai semua perkara itu.
“Dia pernah berkhidmat dalam Kerajaan Persekutuan, keluar masuk sebagai ahli dalam beberapa parti besar seperti UMNO, PKR dan DAP.
Beliau juga pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio undang-undang.
“Kenapa dulu dia tidak bercakap tentang peruntukan dana yang ‘adil atau tidak’ terutama untuk Kelantan, negeri kelahiran beliau?
Kenapa mempersoalkan kedudukan Sarawak dalam Malaysia?” katanya.
Menurut Abdul Karim lagi, Zaid sebagai peguam patut lebih arif berkenaan dengan semua perkara ini.
“Ya.. Zaid juga berbicara mengatakan memohon untuk mendapat ‘perjanjian yang adil’. Biar saya tanya beliau.. adakah Sarawak dan Sabah diberi keadilan bertahun-tahun selama ini? Setelah mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu, apakah kami diberi layanan yang adil?,” katanya.
Katanya, Zaid perlu datang ke Sarawak dan Sabah, pergi ke kawasan pedalaman, lihat sekolah, jalan raya, klinik desa dan sebagainya.
“Mengapa semua kemudahan prasarana ini di Sabah, Sarawak begitu perit sekali, begitu daif sekali kalau dibandingkan dengan apa yang dapat kita lihat di Malaya?
“Di manakah ‘fair deal’ yang saudara Zaid nak perkatakan di sini. Adakah apabila kerajaan Anwar Ibrahim baru saja nak memberi RM1 bilion untuk menaik taraf kawasan sempadan supaya tidak ditembusi oleh penceroboh, terus saudara Zaid melompat mengatakan bahawa, kerajaan (pusat) terlalu beri fokus kepada Sabah dan Sarawak?.
“Saya harap perkara macam ini, biar Anwar Ibrahim menguruskannya. Jangan cuba jadi hero. Kepada Zaid, anda gagal dalam kerjaya politik. Jangan main sentimen macam ini,” katanya.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak