
KUCHING: Orang ramai di Sarawak diminta tidak melakukan pembelian panik susulan kebimbangan terhadap bekalan minyak petrol, kerana keadaan bekalan ketika ini masih stabil dan terkawal.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, setakat ini terdapat 283 stesen minyak beroperasi di seluruh negeri dan bekalan masih mencukupi.
“Saya ingin menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan di Sarawak masih stabil dan terkawal,” katanya.
Beliau menjelaskan, terdapat situasi stesen minyak kehabisan bekalan dalam tempoh singkat, namun ia berpunca daripada faktor logistik penghantaran dan bukannya kekurangan bekalan sebenar.
“Ada stesen yang mungkin kehabisan dalam beberapa jam sahaja kerana permintaan tinggi, tetapi penghantaran akan dibuat semula dan bekalan kembali pulih dalam tempoh kurang 24 jam,” jelasnya.
Situasi itu turut dilihat berlaku di Bekenu apabila dua stesen petrol dilaporkan kehabisan bekalan RON95 sejak beberapa hari lalu, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk setempat.
Tinjauan Utusan Sarawak sebelum ini, mendapati kedua-dua stesen iaitu Shell dan Petronas masih beroperasi seperti biasa berikutan bekalan diesel masih mencukupi, namun pengguna terpaksa mendapatkan petrol di kawasan lain seperti Simpang Bekenu.
Seorang penduduk, Maga Liew berkata, beliau terpaksa mendapatkan bekalan petrol di Simpang Bekenu bagi meneruskan perjalanan ke Bintulu.
“Keadaan ini membantutkan pergerakan ramai penduduk. Bagi yang ingin pergi jauh, mereka terpaksa membeli petrol di Simpang Bekenu,” katanya.
Tinjauan lanjut di kawasan tersebut turut mendapati barisan kenderaan yang panjang apabila orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bekalan RON95.
Menurut seorang pekerja di stesen Shell Bekenu, pihaknya sebelum ini telah mengambil langkah menghadkan pembelian RON95 kepada RM20 bagi setiap kenderaan sejak empat hari lalu bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua pengguna.
“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana penghantaran bekalan minyak dijangka tiba esok,” katanya.
Seorang lagi pekerja di stesen Petronas Bekenu memaklumkan bekalan RON95 telah habis sejak lima hari lalu, namun dijangka pulih dalam masa terdekat sebaik sahaja penghantaran baharu bagi April tiba.
Menurut Matthew, situasi seperti ini adalah bersifat sementara dan akan kembali stabil sebaik sahaja proses logistik penghantaran selesai.
Sehubungan itu, orang ramai digesa agar bertenang serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan pengagihan bekalan berjalan lancar.
Oleh Shahrul Qaizat