PENINGKATAN bilangan kes Covid-19 melepasi angka 100 yang dicatatkan sejak dua tiga hari kebelakangan ini membimbangkan.
Angka semalam mencatatkan peningkatan sehingga 184, dan dikaitkan dengan kluster komuniti baharu sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kluster terbaharu dikesan dari sebuah kediaman di Kampung Semeba di Kuching yang melibatkan 17 kes (termasuk kes indeks).
Beberapa individu yang kembali ke Kuching dari Kuala Lumpur pada 31 Januari lepas, telah dikesan melalui skrining individu-individu yang bersimptom di kemudahan-kemudahan kesihatan pada 5 Februari dan mereka mengesahkan telah mengadakan makan bersama pada 1 Februari.
Catatan 129 kes yang dikesan lebih awal pada 8 Februari sudah mengembalikan keadaan seperti yang pernah berlaku pada kali terakhirnya pada 28 Januari 2021, apabila bilangan mencapai 158.
Walaupun kes kali ini merupakan varian Omicron yang dikatakan kurang kesan jangkitannya, namun peningkatan angka itu perlu diambil berat oleh kita semua.
Benar, kebanyakan kes daripada 129 itu lebih melibatkan Kategori 1 (tiada simptom) dan Kategori 2 (bersimptom sederhana), namun ini bukan bermakna kita harus abaikannya begitu sahaja.
Langkah-langkah memastikan pemakaian pelitup muka di tempat awam, menjarakkan dampingan fizikal, mensanitasikan tangan selalu serta mengurangkan berkumpul beramai-ramai masih perlu diamalkan.
Apa yang perlu kita hiraukan adalah, masih ada yang terkena varian Omicron ini dalam Kategori 3 (jangkitan paru-paru), Kategori 4 (jangkitan paru-paru memerlukan bantuan oksigen) dan Kategori 5 (jangkitan paru-paru memerlukan ventilator).
Kadar kebolehjangkitan (Rt) Malaysia adalah 1.32, manakala Rt bagi negeri-negeri pula, kadar kita di Sarawak ialah 1.48 berada di tempat kedua selepas Sabah dan Perlis (yang mencatat 1.54), manakala Terengganu 1.36.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, gelombang Omicron dijangka memuncak sehingga penghujung Mac tahun ini.
Malah, beliau menyarankan sebagai langkah mengelak jangkitan terus melonjak, majikan membenarkan pekerja mereka untuk bekerja dari rumah, atau menggunakan sistem giliran semula sehingga keadaan kembali pulih.
Pemilik restauran diminta bertegas memastikan pelanggan mereka membuktikan status MySejahtera mereka sebelum dibenarkan untuk diterima masuk.
Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti UNIMAS, Profesor Dr. David Perera sudah mengesahkan bahawa varian Omicron telah dikesan daripada data pengawasan rapi sebagai varian yang dominan mengambil alih tempat varian Delta pada kadar 78 peratus seperti yang terbukti dari tempoh 3 Januari hingga 26 Januari tahun ini.
Sampel yang diperolehi dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri mendapati majoriti varisan Omicron adalah dari baka BA.1.1. Cuma ujian mengenai varian yang didapati di Kapit adalah dari baka B.2.
Lindungi diri, lindungi semua!