BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing menyifatkan usaha untuk menangani penularan wabak Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya masih banyak pihak tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Untuk itu beliau menggesa semua pihak memberikan kerjasama dengan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mematuhi SOP berkenaan.
“Kita kesal terhadap segelintir majikan yang seakan-akan memandang ringan akan aspek SOP,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Bagi kes Bintulu katanya, berdasarkan rekod yang diperoleh, kebanyakan kes jangkitan terbaharu Covid-19 berlaku di tempat kerja.
“Sebaik-baiknya, setiap majikan harus memastikan setiap pekerja mereka mematuhi SOP termasuk melakukan imbasan MySejahtera selain menggalakkan sekurang-kurangnya 70 peratus pekerja mereka bekerja dari rumah,” katanya.
Sementara itu katanya, jangkitan tersebut juga termasuklah di kawasan perumahan dan kediaman rumah sewa.
“Rumah sewa terus mencatatkan banyak berlaku penularan virus pembunuh ini dan ianya merupakan senario yang agak membimbangkan,” katanya.
Tegas beliau pemilik rumah sewa juga perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak berkenaan.
“Amaran keras kepada pemilik rumah sewa supaya mengikuti SOP ditetapkan dalam menguruskan rumah sewa milik mereka”
“Kegagalan mematuhi SOP akan membolehkan mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Oleh ELLIE EDWARD