


KUCHING: Rakyat Malaysia khususnya generasi muda diingatkan tidak melupakan jasa serta pengorbanan perajurit yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara dan meletakkan asas kepada keamanan dinikmati masa kini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata semangat patriotik dan penghormatan kepada perjuangan wira negara, perlu sentiasa dipupuk dan memuncak semasa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Ramai dalam kalangan perajurit kita terkorban demi tanah air. Mereka ini berkorban untuk kita semua. Jadi kita janganlah mensia-siakan perjuangan itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Abdullah berkata rakyat daripada segenap lapisan masyarakat juga seharusnya menghargai suasana harmoni di Malaysia.
“Jangan kita pandang remeh suasana aman damai di negara ini. Kalau kita di luar negara, belum tentu kita akan dapat menikmati suasana seperti ini,” katanya dan menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik dalam mengekalkan keharmonian masyarakat.
Sementara itu, hujan lebat tidak menjejaskan kemeriahan pelancaran majlis yang turut melibatkan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak 2025.
Turut diadakan persembahan hiburan PENTARAMA, Jualan Rahmah, pameran oleh jabatan serta agensi, selain reruai jualan daripada Komuniti MADANI sekitar Kuching.– Bernama