LAWAS: Rakyat di negeriu ini perlu faham maksud Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sekarang Gabungan Parti Sarawak(GPS) perlu membuktikan yang GPS itulah MA63.
Veteran dan pejuang awal Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Daerah Lawas, Dato Pengiran Jawa Pengiran Amjah, 93, berdoa supaya rakyat Sarawak terus setia dengan perjuangan bersama GPS.
“Ini kerana GPS adalah ibarat MA63 kerana bersuara untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak. Cukuplah bergaduh di Malaya nun, kita di Sarawak perlu bersatu hati, jangan tamak dan menabur fitnah kerana kesannya amat buruk.
“Didik dan dampingi orang muda supaya mereka tahu sejarah, tahu hala tuju dan perjuangan GPS yang akhirnya dapat memenuhi keinginan generasi muda ini.
“Sekarang orang parti perlu turun berdamping dengan rakyat dan bukannya menjadi ‘VIP’ duduk atas pentas bersama pemimpin. Kita semua perlu muhasabah diri dan sedia membaiki kesilapan kita yang menjadi punca rakyat marah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau bersyukur kerana pengundi di Lawas khususnya Bukit Sari berjaya mengekalkan momentum sebagai kubu kuat Parti PBB dan GPS di kawasan Parlimen Lawas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.
Beliau mengakui banyak perubahan telah berlaku sejak zaman awal hingga sekarang.
“Dulu kita semua susah dan kerajaan pun susah, kemudiaan keadaan bertambah baik kerana berjaya mengurus negara dengan baik hingga banyak yang kita nikmati seperti sekolah, jalan raya, bekalan air, bekalan letrik dan segalanya yang dinikmati rakyat hari ini.
“Ini adalah hasil usaha kerajaan dan jangan sesekali kita nafikan.
Adapun keadaan sekarang adalah kerana wujudnya fitnah dan pemimpin yang haloba untuk berkuasa hingga merosakkan generasi muda kita,” katanya kesal.
Pengiran Jawa adalah pejuang awal yang membawa bibit parti PBB ke Lawas bersama Datuk Awang Daud, Datuk Racha Umong dan ramai lagi rakan pejuang pada waktu itu.
Pernah ditawar sebagai calon untuk kerusi perwakilan Lawas pada awal 1960an tetapi menolak kerana melihat ada calon lain yang layak iaitu Datuk Awang Daud.
“Datuk Awang Daud Awang Matussin menjadi wakil rakyat pertama Lawas bermula 1970 hingga 1979 dan diganti oleh Datuk Noor Tahir daripada 1979 hingga 1987.
“Kemudiaan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan bermula 1987 hingga 2006 apabila Dewan Undangan Negeri Lawas dimansuh (ditukar nama) serta diganti dengan DUN Bukit Sari hingga sekarang ini,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS