
KUCHING: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng menafikan dakwaan bahawa pihaknya gagal mengambil tindakan terhadap isu perparitan di Lorong Kedandi 2, Tabuan Jaya.
Dato Wee juga menegaskan bahawa permohonan pembiayaan bagi projek tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan lebih awal, sebelum sebarang campur tangan pihak ketiga berlaku.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Michael Kong, pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang menuduh MBKS mengabaikan kawasan tersebut dan memberikan kredit kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek itu.
Menurut Dato Wee, dakwaan tersebut mengelirukan dan tidak mencerminkan proses sebenar yang dilalui pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan peruntukan infrastruktur awam.
“Sebanyak 41 projek bernilai lebih RM9 juta telah kita mohon pada 3 Januari lalu. Projek perparitan di kawasan itu termasuk dalam senarai dan diberikan keutamaan kerana keperluannya yang mendesak,” jelas beliau sambil menunjukkan dokumen sokongan.
Tambahnya, proses permohonan peruntukan memerlukan pemahaman mendalam mengenai skop dan anggaran kos. Beliau mempersoalkan bagaimana seseorang yang bukan wakil rakyat boleh mendapatkan dana tanpa maklumat lengkap.
“Sistem ini terbuka dan telus. Jika benar sesiapa sahaja boleh terus mohon dari menteri dan dapat peruntukan, maka tiada keperluan untuk pihak berkuasa tempatan membuat permohonan rasmi,” tegasnya.
Dato Wee turut menyatakan bahawa MBKS sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha menaik taraf kemudahan awam, namun menekankan agar tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh majlis.
“Kami sentiasa bersama rakyat dan menjalankan tugas sebaik mungkin. Jangan mengelirukan orang awam atau mengambil kredit atas usaha orang lain,” katanya.
Oleh Adele Rissa