SRI AMAN: Terdapat segelintir individu yang masih enggan menerima kejayaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam melaksana pelbagai projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang sehingga kini.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis keengganan segelintir individu berhubung perkara ini boleh dilihat apabila mereka terus berpura-pura menidakkan usaha pembangunan GPS di media sosial atau di hadapan rakyat.
“Pembinaan hospital, naik taraf loji rawatan air, pembinaan Jabatan Batang Lupar II, pembinaan jalan akses, pembinaan jambatan konkrit, naik taraf Tebingan Sungai Batang Lupar dan sebagainya sedang atau sudah pun berlangsung di DUN Simanggang ketika ini.
“Rakyat DUN Simanggang tahu tentang perkara ini kerana minda mereka terbuka. Namun bagi rakyat yang memiliki minda anti pembangunan maka realiti seperti ini akan tetap ditolak oleh mereka lebih-lebih jika usaha itu dibawa oleh GPS,” kata beliau.
Selain itu, Harden ketika meninjau perkembangan Projek Bina Baharu Jalan Rumah Rangga Angkom, Sungai Tenggak B, Undop di sini juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir Tuai Rumah yang bertindak menentang Kerajaan GPS.
Lebih memburukkan keadaan kata beliau ialah apabila tuai rumah bukan sahaja bertindak menentang GPS malah turut membiarkan diri diperalat bagi menyemai sikap anti pembangunan dalam kalangan rakyat di kawasan DUN ini.
“Saya berasa simpati terhadap Tuai Rumah yang diperalat oleh sesetengah pihak tertentu untuk membenci kerajaan pimpinan GPS ini kerana mereka tergolong dalam pemimpin peringkat akar umbi yang kecewa tanpa mendapat penawar.
“Justeru saya memohon kepada golongan Tuai Rumah ini agar berhenti berbuat demikian kerana ia secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha pembangunan kerajaan di kawasan penempatan mereka pada masa akan datang,” kata beliau.
Terdahulu sejumlah RM350,000 diperuntuk di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simanggang untuk membina jalan ke Rumah Panjang Sungai Tenggak B, Undop di sini.
Peruntukan itu juga turut mencakupi pembinaan sebuah jambatan baharu merentangi Sungai Klassen di situ dengan syarikat Bumi Makmur Enterprise telah memperoleh tender projek berkenaan melalui proses cabutan undi.
Oleh VALENTINE NGUMBANG