SIBU: Program membabitkan golongan belia perlu diadakan secara berterusan, bukan semata-mata sewaktu pilihan raya, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Katanya, program perlu diperbanyakkan untuk aktiviti belia kerana pentingnya usaha untuk memperkasakan belia dalam pelbagai bidang.
“Program untuk belia tidak seharusnya hanya diadakan ketika pilihan raya, sebaliknya penting untuk diteruskan dengan membabitkan semua belia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata demikian ketika melancarkan konvoi bermotosikal Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Nangka dan Pelawan di Pusat Gerakan Pilihanraya PBB Pelawan di Jalan Bandung disini pagi ini.
Dr Annuar berkata, belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Sibu, khususnya DUN Nangka, Pelawan, Bawang Assan, Bukit Assek perlu dilibatkan dalam pelbagai program.
Katannya, baru-baru ini pembukaan gymnastik dibuka di salah satu lokasi di DUN Nangka dan berhasrat untuk membuka lebih banyak lagi bagi kemudahan golongan belia.
“Saya berharap golonganbelia di kawasan ini menggunakan kemudahan itu nanti untuk kebaikan mereka sendiri,” katanya.
Lebih 100 ahli Pergerakan Pemuda PBB kawasan DUN Nangka dan Pelawan menyertai konvoi yang mengelilingi kawasan kampung di sini.
Oleh Abg Zainoren Jess