KUALA LUMPUR: Sesi libat urus (engagement) mengenai rancangan pembangunan empangan hidro di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 7 April lalu berlangsung dengan harmoni dan disifatkan SUHAKAM sebagai berjaya merungkal kegusaran impak pelaksanaannya kepada komuniti sekitar projek itu.
“SUHAKAM berpuas hati dengan sesi libat urus yang berlangsung kerana pihak TNB telahpun memberikan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan projek ini,” kata Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph yang mempengerusikan sesi.
“Pihak komuniti orang asli yang terjejas dan terlibat (dengan projek ini pula) diberi peluang yang luas untuk membangkitkan sebarang pertanyaan dan kemusykilan mengenai projek ini. Proses keterbukaan di antara semua pihak berkepentingan adalah cara penting untuk pembangunan berlaku berlandaskan prinsip hak asasi manusia.
“Kami mementingkan perkongsian maklumat dengan penuh keterbukaan di samping mencari cara yang lebih mesra yang dapat mengimbangi semua tuntutan hak pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia,” ujar Jerald Joseph di akhir sesi berkenaan.
Libat urus yang berlangsung selama tiga jam di Kuala Lipis, Pahang itu bertujuan memberikan penerangan mengenai status semasa projek serta manfaat kepada penduduk negeri Kelantan dan komuniti orang asli yang terkesan secara langsung dengan projek.
Pengisian libat urus termasuk sesi soal jawab di antara pihak-pihak yang terlibat.
Sesi dihadiri empat anggota SUHAKAM, enam pemimpin komuniti orang asli di tapak projek empangan hidro iaitu dari Pos Tohol, Pos Pulat dan Kg. Kuala Wias; 11 orang dari kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK): serta pegawai pegawal dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Pejabat Daerah Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan SUK Negeri Kelantan (Pembangunan), Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dalam ucapannya berkata sesi libat urus itu dapat memberikan penerangan yang lebih mendalam kepada mereka yang terkesan dengan projek itu.
“Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan pelaksanaan projek ini kerana ia bakal memberikan manfaat kepada semua rakyat negeri Kelantan, terutama komuniti orang asli yang terlibat di kawasan tersebut.
“Di samping itu, projek hidro ini dijangka dapat membantu kerajaan negeri meminimakan impak fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri Kelantan selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan dan menggiatkan eko pelancongan,” katanya lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohol, Ajeh Baharom pula berharap pelaksanaan projek pembangunan hidro itu dapat disegerakan kerana penduduk di ketiga-tiga perkampungan orang asli yang terlibat telah menunggu lapan tahun untuk ia dibangunkan.
“Majoriti penduduk di Pos Tohol, Pos Pulat dan Kg Kuala Wias telah pun bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan memulakan kehidupan di tempat baharu seperti yang di telah dipersetujul bersama JAKOA, Kerajaan Negeri Kelantan dan juga TNB. – DagangNews.com