KUCHING: Gelaran ‘negeri’ untuk Sarawak seharusnya tidak digunakan lagi memandangkan statusnya sudah berubah menjadi ‘wilayah.’
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi (gambar) berkata, Sarawak tidak lagi dilayan sebagai sebuah ‘negeri’ dan oleh itu Sarawak bebas menggelar dirinya sebagai ‘Wilayah Sarawak.’
“Saya rasa kita tidak sepatutnya menggunakan perkataan ‘Negeri Sarawak’ lagi.
“Hal ini kerana kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya, wilayah. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya rasa ini adalah sesuatu yang amat membanggakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi pasaran hartanah pertama di Sarawak, Property Axis di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya, wilayah dan memberi jaminan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak.
Status wilayah itu dikuatkuasa apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.
Berikutan itu, ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.