
PETRA JAYA: Penggunaan kandungan media tanpa kebenaran atau pengiktirafan kepada pemilik asal perlu dihentikan bagi memastikan hak cipta serta hasil kerja pengamal media terus dihormati dalam persekitaran digital yang semakin berkembang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)), Datuk Abdullah Saidol berkata, isu pengambilan gambar, video atau bahan media tanpa memberikan kredit sewajarnya semakin menjadi perhatian kerana boleh menjejaskan usaha serta nilai hasil kerja pengamal media.
Menurut beliau, pengamal media sering berdepan situasi apabila hasil kerja mereka digunakan semula oleh pihak lain tanpa pengiktirafan terhadap pemilik asal.
“Kita sedar ramai wartawan kadang-kadang berasa kecewa apabila hasil kerja mereka diambil dan digunakan tanpa diberikan kredit yang sepatutnya.
“Justeru, etika penggunaan kandungan perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk pengguna media sosial, pencipta kandungan dan organisasi yang menggunakan bahan daripada sumber media,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Abdullah berkata, isu berkaitan etika penggunaan kandungan media turut menjadi antara perkara yang diketengahkan dalam SMeC 2026 bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghormati hak cipta dan sumber asal sesuatu bahan.
Katanya, mana-mana pihak yang menggunakan bahan daripada platform media seperti Televisyen Sarawak (TVS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau organisasi media lain perlu menyatakan sumber serta memberikan penghargaan kepada pemilik asal.
“Jika seseorang mengambil gambar atau menggunakan kandungan daripada mana-mana platform media, kredit perlu diberikan kepada pemilik asal bagi menghormati usaha yang telah dilakukan,” tegasnya.
Tambah beliau, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) turut membawa cabaran baharu terhadap pengurusan kandungan apabila bahan daripada pelbagai sumber boleh digabungkan dengan lebih mudah.
Sehubungan itu, katanya, aspek integriti, etika dan tadbir urus media perlu terus diperkasakan bagi memastikan ekosistem maklumat kekal bertanggungjawab serta dipercayai.



