PENANGGUHAN seketika penganjuran Liga SSC-FAS 2021 yang diumumkan oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) baru-baru ini, bukan alasan untuk pemain-pemain skuad Kapit FA goyang kaki dan mengabaikan tahap kecergasan.
Ketua jurulatih Kapit FA, Pendi Bohari menjelaskan tiada pilihan pasukan bimbingannya untuk kembali bergantung kepada cara latihan yang pernah diamalkan oleh mana-mana pasukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
Namun, ada sedikit kelegaan dalam kalangan kem skuad Borneo Lerpards itu kerana pemain boleh keluar berjoging dan itu penting buat pemain dalam mengekalkan tahap kecergasan sepanjang penangguhan liga tersebut dikuatkuasakan.
“Buat masa ini, pemain-pemain kembali jalani latihan secara individu dan mereka akan beritahu kepada saya serta jurulatih yang lain tiap kali selesai sesi latihan, ini sahaja pilihan yang ada buat masa ini.
“Pemain-pemain ternyata dapat mengikuti segala arahan diberikan walaupun terpaksa melakukan latihan kendiri di rumah atau dengan melakukan joging bersama pemain lain.
“Kami sebenarnya baharu sahaja hendak memulakan latihan pada 10 Mei lalu, sebelum pihak SSC mengumumkan penangguhan liga ini, dan situasi sebegini membuatkan kami terpaksa merangka program khusus buat pemain,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Bagi fasa awal ini kata Pendi, adalah cukup penting kepada pemain mendapatkan kembali kecergasan sebelum liga bersambung pada bila-bila masa.
“Pemain kena disiplin serta jujur dalam soal ini dan kena patuh terhadap program yang jurulatih telah rangka dan seperti semua pihak, saya juga mengharapkan peningkatan pandemik Covid-19 ini berakhir lebih awal agar Liga SSC-FAS mampu berjalan seperti dirancang,” ujarnya.
Pendi menjelaskan memandangkan ada di kalangan pemain yang ada berasal dari daerah Belaga dan Kapit, adalah kesukaran pasukannya untuk menjalani latihan bersama pemain lain.
“Buat masa ini, kita hanya menumpukan latihan pemain dari daerah Song sahaja, kerana pemain daripada Belaga dan Kapit tidak digalakkan untuk turun menjalani latihan di Song ini,” katanya.
Dalam pada itu, skuad Kapit FA kini sedang menerajui takhta Liga SSC-FAS bagi Zon Tengah Sarawak dengan berkongsi enam mata dengan pasukan Sri Aman FA.
Selasa lalu, Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr. Ong Kong Swee telah mengumumkan aksi Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 akan ditangguhkan seketika susulan penularan COVID-19 di negeri ini.
Sehubungan dengan keadaan pandemik COVID-19 semasa katanya, pihak pengurusan SSC dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah bersetuju untuk menangguhkan dahulu penganjuran liga tersebut ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali.
Oleh ADI SAFARMAN