Oleh Asyraff Jamin
HARI ini hari kedua berpuasa dalam bulan Ramadan tahun ini.
Terasa kurang sedikit cabarannya berbanding hari pertama semalam meskipun panas cuacanya sama sahaja pada kedua-dua hari ini. Mungkin badan sudah mula menerima perubahan rutin makan dan minum untuk sebulan ini. Moga-moga Allah mudahkanlah urusan berpuasa Ramadan pada tahun ini sehingga ke penghujungnya.
Jarum pendek jam baru menginjak ke angka tiga sementara jarum panjangnya pula berada lebih sedikit daripada angka tujuh. Masih lama menuju waktu berbuka.
Khairi sememangnya sedari tadi lagi asyik melihat-lihat jam di tangannya. Benarlah kata orang, pada bulan ramadhan kita akan menunggu-nunggu waktu maghrib dan pada sebelas bulan berikutnya, maghrib pula yang akan menunggu kita. Itulah kelebihan dan rahmat pada bulan penuh berkat ini.
Kebosanan menunggu, Khairi cuba memenuhkan masanya dengan sesuatu. Dicapainya buku daripada rak, konon-kononnya mahu mengisi masa dengan membaca.
Namun niatnya itu terbantut kerana dia sepertinya telah terperangkap dalam mitos bahawa untuk khusyuk dan fokus membaca, dia perlu menyeduh kopi.
Ah, tumpuannya melilau! Dia tidak dapat fokus membaca tanpa bantuan kafein. Sebenarnya, lidah dan tekaknya memang dari pagi lagi sudah tercari-cari aroma kopi untuk dinikmati. Lantas itulah yang membuatnya sedikit tidak keruan, resah, gelisah dan kehausan.
Buku diletakkan kembali di rak. Dia kemudian menuju ke ruang tamu lalu duduk di sofa. Dia menyandar-nyandar ke kiri ke kanan, barang kali mencari posisi yang paling nyaman dan selesa.
Televisyen dibuka. Dia mengalih-ngalih siaran, cuba mencari rancangan atau mungkin ada filem untuk menghilangkan bosan. Namun, semuanya hampa, langsung tidak ada yang menepati citarasanya. Televisyen pun ditutup.
Sedang dia diselimuti kebosanan dan tidak tahu mahu membuat apa lagi, datang teman serumahnya merapati lalu duduk di sebelahnya.
“Kau dah kenapa ni Khairi?” tanya Siddiq, teman serumah Khairi kepadanya.
“Tak ada apalah… cuma rasa bosan, tak tahu nak buat apa? Waktu berbuka pun lama lagi,” jawab Khairi kepada teman serumahnya itu.
“Haa… alang-alang kau dah bosan, mari aku tunjukkan sesuatu… menarik ni…”
“Apa benda yang menarik sangat kau nak tunjuk?” Siddiq menghulurkan telefon pintarnya kepada Khairi.
“Kau tengok ni. Lawanya… Baju Melayu teluk belanga versi Korea.” Begitu bersemangat sekali Siddiq menunjukkannya kepada Khairi.
Dengan tidak semena-mena, pantas saja tangan Khairi hinggap menampar kepala Siddiq yang sedikit lembut itu.
“Apa jadahnya baju Melayu Korea KPOP bagai ni… kau ingat lawa? cantik?”
“Lawalah ni…. Kau tengok ni… ni… ni… lawa kot! Warna pink lagi tu!”
“Eh, kau ni! kalau aku tampar kau sekali lagi baru kau tahu erti penyesalan.”
“Kenapa pulak?”
“Kenapa kau cakap? Kau tak payahlah nak gatal-gatal tangan nak memodenkan ke apa ke kat baju Melayu tu, kau jangan nak rosakkan budaya orang Melayu. Baju Melayu ni pakaian atau busana warisan kita… pakaian yang dah kita pakai secara turun-temurun dari nenek moyang kita, bahkan dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi orang Melayu dah pakai baju ni….”
Siddiq terdiam. Langsung tidak berbunyi.
Khairi menambah lagi.
“Aku tahulah kau peminat KPOP, Diq… dan kaulah yang paling beria sekali dengan kumpulan apa tu… BTS, TBS, BST… apa entah… dan macam-macam lagilah… aku pun tak tahu nama dia… Black Pink segala bagai tu…. Kita ni, kalau nak minat sesuatu, jangan sampai taksub, jangan sampai lupa diri, Diq.”
“Salahkah aku nak minat KPOP? Minat Korea semua tu? Salahkah?” Siddiq mempersoalkan kepada Khairi.
“Salah tu tak salah…. Tapi janganlah melampau sangat, macam aku cakap tadi… jangan sampai lupa diri… jangan sampai warisan budaya kita pun kita nak tindih-tindih dengan unsur asing macam tu…. Aku tak rela budaya Melayu ditindih-tindih macam tu… kau rela? Sedarlah, kau tu orang Melayu, bukannya keturunan Kim Jong Unn… Park Jii Sung… Son Heung Ming hatta mamat-mamat KPOP semua-semua tu. Kulit kau pun jauh bezalah, Diq, mata pun bulat….”
Siddiq tidak terkata. Mungkin mulai sedar diri.
Namun Khairi masih belum puas, masih geram. Dia menambah lagi secukup rasa.
“Cuba kau tengok budaya orang Korea, di negara mereka. Mereka pun ada baju kebangsaan mereka sendiri. Samalah macam kita, ada Baju Melayu sebagai baju kebangsaan kita. Baju Hanbok tu, ada kau tengok mereka ubah-ubah, atau tindih-tindih baju kebangsaan mereka dengan unsur asing? Ataupun cuba nak modenkan? Ada mereka cuba nak ubah tradisi mereka?”
Siddiq tercengang. Hanya diam mendengar bebelan Khairi yang berjela.
“Kau sendiri pernah datang Korea kan? Siap ambil gambar lagi dengan baju Hanbok tu dekat muzium di sana kalau tak silap aku. Ada kan? Ada?”
Siddiq mengangguk. Mulutnya muncung, terasa pedas dengan kata-kata teman serumahnya yang sedari tadi tidak henti-henti membebel.
Khairi kemudiannya menepuk-nepuk bahu Siddiq. Mungkin cuba memujuk, “Diq… oh Diq….”
“Apa dia?”
“Alah… kau janganlah marah, jangan merajuk… aku ni nasihatkan kau saja….”
Siddiq mencebik. Khairi merapati, lalu sekali lagi menepuk-nepuk bahu Siddiq. “Kau tahu tak Diq?”
“Tahu apa? kau jangan nak membebel panjang-panjang lagi….”
Khairi tersengih.
“Eh tak, tak… aku cuma nak beritahu kau ni….”
“Hah, apa dia?”
“Kau tahu tak, baju Melayu itu sendiri sebenarnya ada falsafah, ada makna dan ada pemikiran di sebaliknya…. Baik,kau kalau hari raya suka pakai baju Melayu yang mana? Teluk Belanga ke Cekak Musang?”
“Teluk Belangalah…. Kau tengok la saiz leher aku macam mana…”, Siddiq sudah mula tersengih sedikit.
“Oh kalau aku, aku suka pakai baju Melayu cekak musang. Yang lima butang tu…”
“Ya, aku tahulah beza kedua-duanya… aku orang Melayu….”
“Oh, Melayu! Ingatkan Korea,” Khairi berseloroh.
“Kau ni kan! Hmmm”
“Oh, tak… tak… haaa… mari sini aku nak cerita sedikit apa makna di sebalik kedua-dua baju Melayu ni. Baju Melayu ni selain pada hari raya, bila lagi orang akan pakai?”
“Hari Jumaat, waktu solat…”
“Nampak tak? kebanyakan orang akan pakai baju Melayu pada hari Jumaat dan waktu solat bukan? Jadi dari segi pemakaiannya tu, memang berkait rapat dengan ibadah kita, berkait rapat dengan Islam. Melayu dan Islam, dua benda yang tak dapat nak dipisahkan. Baik, untuk Baju Melayu Cekak Musang, baju ni ada lima butang kan? lima butang tu sebenarnya mewakili lima Rukun Islam. Pertama Syahadah, kedua solat, ketiga puasa, keempat zakat dan kelima haji.”
“Serius kau ni?”
“Seriuslah… haaa… kalau untuk Baju Melayu Teluk Belanga yang macam kau suka pakai tu pula, dia ada satu butang sahaja bukan? atau kalau yang jenis tak ada butang, orang akan pakai kerongsang untuk butangkan baju ini. Kau tahu tak, satu butang tu maknanya apa?
“Apa maknanya?”
“Satu butang tu membawa makna tauhid.”
“Serius kau ni?”
“Serius lah… kan dah cakap tadi. Haaa lagi, kalau kau tengok kedua-dua baju Melayu ni, ada tiga poket bukan? Tiga poket tu pun ada maknanya yang tersendiri…”
“Apa maknanya?”
“Tiga poket ni membawa maksud Islam, iman dan ihsan. Nah, sebab itulah kita tak boleh sesuka hati nak ubah… nak tindih-tindih… hatta nak modenkan warisan budaya kita ni sesuka hati. Sebab semuanya ada falsafah kenapa baju ini dibuat begitu. Ni kalau kita dah ubah, dah tindihkan unsur asing, tercemarlah estetika, falsafah, dan makna yang terkandung pada baju kebanggaan kita tu.”
Siddiq tunduk.
“Iya… sekarang aku sedar… aku yang terlalu fanatik dengan artis-artis Korea tadi tu… sekarang aku sedar. Betul juga apa kau katakan ni… memang kita yang patut jaga warisan budaya kita ni. Lagi-lagi Baju Melayu ni adalah baju kebangsaan kita”
“Baguslah kalau kau dah sedar dan faham. Haa… tentang status baju kebangsaan tu, kita sebagai orang Melayu sepatutnya berbangga tau, sebabnya apabila sudah diiktiraf sebagai baju kebangsaan, bukan saja orang Melayu, kaum-kaum lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan pun boleh memakainya.
“Ya tak ya juga kan. Memang bangga bila lihat orang daripada kaum lain yang memakainya. Macam masa kita tengok Dato’ Lee Chong Wei memakainya semasa beliau membawa Jalur Gemilang semasa Sukan Olimpik dulu.”
“Ya betul. Segak kan Dato’ Lee Chong Wei masa tu? Haa satu lagi… kalau dah pakai baju Melayu tu… pakailah dengan lengkap, barulah nampak segak macam Dato’ Lee Chong Wei. Kena ada songkoknya, ada sampingnya dan juga capalnya. Itu baru lengkap, barulah segak macam pahlawan Melayu, macam Dato’ M. Nasir dalam filem Hang Tuah. Songkok, samping dan capal tu pun ada makna dia yang tersendiri.”
“Pun ada juga?”
“Iya…ada. Songkok tu sebagai simbol identiti Islam. Dan sesuai dengan tempatnya yang dipakai di atas kepala, pemakaian songkok membawa makna menjulang Islam setinggi-tingginya.”
“Oh… wah, hebatlah kau. Dah tu samping dengan capal tu apa pula maknanya?”
“Samping pula berfungsi sebagai sampingan… sebab tu nama dia samping. Tapi cara pemakaian samping tu yang membawa makna-makna tertentu. Biasa tengok kan orang pakai samping, ada yang pakai labuh ke bawah lutut dan ada yang pakai senteng di atas lutut. Itu bukan orang pakai saja-saja tau. Yang pakai labuh tu tandanya dia sudah berkahwin atau sudah berumah tangga. Sementara yang pakai senteng, bukanlah senteng sebenarnya… tapi di atas paras lutut, itu menandakan pemakai dia tu masih bujang.”
“Haishhh… salahlah aku pakai selama ni… patutlah tak ada gadis yang nak tegur aku selama ni kalau aku pakai baju Melayu. Aduhai!” Khairi ketawa.
“Itulah kau, main pakai ikut sesuka hati kau saja. Benda atau elemen budaya macam ni kau tak boleh main bedal ikut suka. Kena belajar. Baik, yang terakhir, capal. Capal ni tak ada makna sangat pun. Cumanya kalau tanpa capal, baju Melayu tu nampak tak lengkaplah. Capal ni kalau mengikut ceritanya adalah alas kaki yang digunakan oleh golongan bangsawan dan pahlawan Melayu pada zaman dahulu. Jadi bila mereka pakai capal, nampak semakin kemas, semakin segak. Maka orang Melayu pun mulalah menjadikan capal sebagai antara aksesori wajib dalam baju Melayu, biar pemakainya nampak lebih segak. Nampak macam pahlawan Melayu.”
“Ohh… dengar cerita kau ni, buat aku jadi bersemangat pula nak sambut hari raya. Tak sabar nak pakai baju Melayu lengkap. Nak pakai segak-segak macam Dato’ Lee Chong Wei, macam Dato’ M. Nasir, macam Hang Tuah.”
Khairi ketawa.
“Tapi cara pakai samping jangan lupa ubah tau, pakai atas sikit daripada paras lutut.”
Siddiq ketawa.
Azan pun berkumandang.
“Eh, dah azan tu… dah masuk waktu berbuka woi” Kata Khairi tersenyum.
“Belum lagi. Itu azan Asar. Tengoklah jam woi!”
“Masya-Allah, mirip sekali bunyinya dengan azan maghrib.”