KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh berdabik dada dengan kemenangan 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang lalu.
Sebaliknya, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan semua pihak termasuk ahli dan pemimpin parti dalam gabungan itu, supaya sentiasa merendah diri dan terus bekerjasama antara satu sama lain.
Tegasnya, ia penting terutama dalam usaha mempertahankan kemenangan itu dan mendepani Undi 18 serta mencapai sasaran menjadi negeri maju dengan penduduknya berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kita mesti teruskan kerjasama dan sentiasa merendah diri. Kita tahu bukan mudah untuk mempertahankan 76 kerusi itu pada masa depan kerana 18 (Undi 18).
“Pasti kita terpaksa ubah sedikit (diri) masing-masing untuk kita menemui atau memenuhi keperluan generasi muda,” katanya.
Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi Petugas PRN-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini malam tadi.
Oleh NUR AIN OTSMAN