SIMANGGANG: Tuai Rumah yang hilang arah perjuangan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini akan menjadi sasaran mudah buat segelintir pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata pihak itu akan mendekati para Tuai Rumah itu dan seterusnya mengekploitasi mereka bagi meraih sokongan politik daripada rakyat dibawah pimpinan masing-masing.
“Golongan berkenaan akan menjadikan para Tuai Rumah seperti itu sebagai ‘platform’ bagi menyebar mesej atau propanda berbaur anti kerajaan yang dipimpin oleh GPS dalam kalangan rakyat masing-masing,” kata beliau.
Harden berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang yang berlangsung di bilik mesyuarat parti itu di sini malam kelmarin.
Selain itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini memberitahu tindakan Tuai Rumah yang menyertai perjuangan pihak itu telah menimbulkan rasa kesal Kerajaan Sarawak yang telah melantik mereka untuk memegang jawatan itu sebelum ini.
“Tuai Rumah seharusnya membantu kita memacu pembangunan proses negeri ini dan bukannya bertindak membiarkan diri dijadikan sebagai ‘platform’ oleh pihak tertentu untuk menghasut rakyat mereka bagi menentang kerajaan,” katanya.
Harden juga tidak menolak bahawa wujudnya kumpulan tertentu yang bertindak menggunakan jalan pintas untuk menentang kerajaan setelah kehendak atau tuntutan mereka gagal dipenuhi sebelum ini.
“Tindakan tersebut hanya menyebabkan kumpulan berkenaan kian terpisah daripada arus pembangunan kerajaan yang sedang rancak dilaksana dalam negeri ini pada masa sekarang,” kata beliau.
Terdahulu para ahli pada penghujung mesyuarat itu bersetuju untuk Ahli Majlis, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dari parti SUPP menubuhkan satu jawatankuasa sebagai ‘platform’ bagi mengadakan pra mesyuarat sebelum mesyuarat penuh diadakan.
Tujuan jawatankuasa berkenaan diwujud adalah untuk memisahkan mesyuarat perihal parti dengan mesyuarat projek pembangunan atau isu-isu berbangkit yang diutarakan dalam mesyuarat Kerajaan Tempatan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG