
KUCHING: Masyarakat diingatkan agar tidak bersikap acuh tak acuh terhadap kejadian penderaan di sekeliling mereka kerana tanggungjawab melindungi mangsa bukan hanya terletak pada pihak berkuasa semata-mata
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menegaskan, sikap ‘tidak mahu campur tangan’ atas alasan ia urusan rumah tangga adalah pandangan yang silap dan boleh menjurus kepada tragedi.
“Ini bukan soal masuk campur urusan orang lain. Dalam undang-undang, ada konsep ‘tanggungjawab untuk berhati-hati’. Kalau jiran tahu ada penderaan tapi tidak melaporkan, mereka juga gagal dari segi tanggungjawab moral dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Program Demi Rakyat anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di salah satu hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai perlu lebih peka terhadap tanda-tanda penderaan, pengabaian atau keganasan dalam komuniti serta segera memaklumkan kepada agensi berkaitan agar tindakan boleh diambil dengan pantas.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, turut menekankan kepentingan melaporkan setiap kes penderaan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian lebih buruk termasuk kehilangan nyawa.
Mengulas mengenai kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kuching baru-baru ini yang disyaki menjadi mangsa dera, beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi menyayat hati yang sepatutnya tidak berlaku sekiranya masyarakat lebih prihatin.
“Setiap kes penderaan mesti dilaporkan segera supaya tindakan boleh diambil ke atas pelaku dan mangsa dapat diselamatkan,” katanya.
Fatimah menjelaskan, kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis dengan bantuan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diberi kuasa oleh mahkamah untuk melindungi mangsa lain.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan memandangkan ia masih dalam siasatan dan melibatkan mangsa bawah umur.
Turut hadir pada program itu ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta Ketua Cawangan Perkhidmatan Warga Emas JKM Sarawak, Haslinda Supu, bersama kakitangan pusat khidmat Zon Selatan dan pegawai UKAS.
Oleh Shahrul Qaizat