KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan dan diberi amaran supaya tidak mengambil mudah pandemik Covid-19 dan mempelajari apa yang terjadi ke atas negara Itali sehingga menyebabkan kematian melebihi 11,000 orang dalam masa sebulan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian mengingatkan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara itu meningkat secara drastik daripada 17 kes pada Februari dan sekarang sudah melebihi 11,000 kes.
“Ini adalah bukti kerana rakyat ingkarnya. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di negara itu, rakyatnya membantah dan ingkar.
“Sebab itu kita sentiasa meminta orang ramai untuk kekal di rumah sepanjang tempoh PKP yang dilaksanakan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19.
“Jika ini tidak dikawal dalam masa beberapa minggu, kita mungkin akan berlaku seperti negara itu, dan sebab itu PKP dilaksanakan,” tegasnya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkenaan Covid-19 di sini, semalam.
“Jadi mesej di sini ialah kita tidak mahu apa yang berlaku di Itali berlaku kepada kita di Sarawak. Sila faham dan jangan keluar dan bergerak jika tidak ada keperluan.
“Untuk menghentikan virus bukan hanya bergantung kepada ujian PCR, tetapi termasuk mematuhi PKP kerana ini akan membantu meratakan lengkung statistik jangkitan.
“Ini hanya kesulitan selama dua hingga tiga minggu, tetapi jika ia sudah dikawal, kita sudah tentu dapat kembali kepada hidup normal secepat mungkin,” jelasnya.
Beliau juga memberi amaran jika ramai rakyat Sarawak dijangkiti, adakah mereka tidak bimbang dengan doktor perubatan yang perlu mengambil risiko keselamatan untuk merawat pesakit yang dijangkiti.
“Di Itali kira-kira 60 doktor telah mati, manakala di Sarawak terdapat hanya ada empat orang doktor pakar penyakit berjangkit dan mereka ini melihat pesakit setiap hari. Fikirkan apa akan jadi jika kita kehilangan mereka akibat virus ini.
“Marilah kita kekal bersama dalam perjuangan ini dengan memainkan peranan kita, kerana kita mahu semua orang selamat daripada wabak maut ini,” katanya.
Sim dalam masa yang sama menjelaskan tiga sekeluarga yang maut akibat Covid-19 bukanlah daripada ahli keluarga yang telah bercuti di Itali.
“Saya tidak pernah menyatakan keluarga itu pergi ke Itali untuk bercuti, saya hanya mengatakan ia adalah diimport dari Itali apabila seseorang yang pergi ke Itali untuk bercuti dan mengakibatkan keluarga itu dijangkiti virus itu,” katanya mengulas mengenai laporan berita terdahulu.
Beliau juga berkata dalam kumpulan keluarga itu, 27 ahli keluarga atau saudara mara telah dijangkiti dan seorang sedang diintubasi.
Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan ibu meninggal pada 18 Mac, anak perempuannya pada 21 Mac dan anak lelakinya meninggal dunia pada 23 Mac.