KUALA LUMPUR: Pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd hari ini menafikan bahawa beliau menyalahgunakan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau ‘menjual’ nama bekas Perdana Menteri itu bagi meyakinkan kontraktor yang memohon projek di bawah Program Jana Wibawa.
Datuk Seri Azman Yusoff, 54, yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia berkata demikian semasa pemeriksaan balas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik pada perbicaraan kes Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram.
Saksi pendakwaan ke-27 itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa semakin banyak beliau mengajak kontraktor memohon projek di bawah Program Jana Wibawa, semakin banyak wang diterima KCJ Engineering dan syarikat Addeen Engineering Sdn Bhd.
Menurut saksi, syarikat Addeen Engineering adalah milik adik iparnya dan beliau mengakui mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, Azman mengakui bahawa KCJ Engineering telah menerima RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd.
Pada prosiding sebelum ini, Pengasas Nepturis Sdn Bhd Lian Tan Chuan (TC Lian) berkata beliau ada memberi sumbangan RM1 juta kerana Nepturis telah memperoleh projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor bernilai RM141 juta.
Disoal Hisyam sama ada Azman tahu bahawa TC Lian memberi sumbangan RM1 juta kerana beliau (Azman) adalah Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia, Azman menjawab, tidak tahu.
Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau diberi layanan istimewa dalam siasatan kes Jana Wibawa.
“Saya telah memberikan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan kes berkenaan,” katanya.
Azman tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa sekiranya beliau tidak bekerjasama dengan SPRM dan menjadi saksi pendakwaan, beliau akan dituduh di bawah Akta SPRM.
Hisyam: Motif awak hadir ke mahkamah sebagai saksi SPRM bagi pihak pendakwaan adalah untuk menyelamatkan diri daripada pertuduhan yang dikenakan terhadap awak?
Azman: Saya tidak pasti.
Bagaimanapun, ketika disoal semula oleh Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, saksi itu bersetuju bahawa motif beliau hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan adalah bagi mengelakkan dirinya daripada dikenakan pertuduhan.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung 1 September ini. – Bernama





