
KAPIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Baru, semalam.
Beliau menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM2,000 kepada dua Ketua Isi Rumah (KIR) keluarga terjejas.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban mangsa selain digunakan untuk membeli barangan keperluan asas selepas kehilangan tempat tinggal.
Dalam kejadian kebakaran pada pagi Sabtu lalu, sebuah rumah kayu separuh kekal musnah sepenuhnya dan api turut merebak ke Masjid Jamek Kampung Baru Kapit.
Kebakaran itu menyebabkan masjid berkenaan mengalami kerosakan teruk, khususnya pada bahagian bumbung.
Dalam pada itu, Jamit turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (MRP) bagi kerja-kerja baik pulih Masjid Jamek Kampung Baru Kapit
Beliau berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban mangsa serta mempercepatkan usaha pemulihan kemudahan awam yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
Oleh Akun Giman