KUCHING: James Shoal yang terletak kira-kira 83 kilomter barat laut Bintulu dijangka menjadi ‘lubuk emas’ kepada industri sumber asli minyak di Sarawak.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak sedang meneliti misi penerokaan di kawasan perairan bawah laut tersebut.
“James Shoal adalah kawasan perairan yang memiliki sumber daya alam yang berpotensi.
“Sama ada telah diterokai atau tidak, saya sendiri tidak tahu kerana tidak ada perincian lebih lanjut mengenainya.
“Saya menemuinya melalui pembacaan saya dari sebuah buku. Oleh itu, kita kena mencari dan meneliti perinciannya terdahulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak (WMS) di Jalan Diplomatik di sini, semalam.
Menurutnya, penemuan yang dibuat oleh seorang saintis yang direkodkan di dalam sebuah buku itu menganggarkan bahawa James Shoal memiliki sekitar 93 billion tong sumber minyak.
Sebelumnya, Abang Johari menerusi ucapannya mendedahkan bahawa beliau mengetahui berkenaan potensi James Shoal melalui pembacaanyaa terhadap buku tersebut.
“Sejurus selepas saya membaca mengenai James Shoal ini, saya terus mencari lokasi tersebut melalui (aplikasi) Peta Google, dan rupa-rupanya James Shoal ini terletak berhampiran Bintulu.
“Saya terkejut dan teruja dengan ‘berita baik’ ini, kerana ini bermaksud kita menemui potensi baharu,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak memerlukan khidmat kepakaran khususnya saintis dan ahli arkeologi dalam mengurus serta mentadbir sumber asli di negeri ini.
“Kita mesti menguruskan sumber ini dengan baik, bukan hanya tertumpu di Bintulu sahaja, bahkan sampai ke Balingian juga,” tegasnya.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP